Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pemuliharaan Sungai Brunei dan Kampong Ayer sempena Hari Bumi

Oleh: Haniza Abdul Latif | Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah

Sambutan Earth Day.jpg

MENTERI Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan Menteri Pembangunan semasa menyaksikan pameran pada Sambutan Hari Bumi 2018 dan Kempen Pembersihan Sungai Brunei dan Kampong Ayer di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 April. – Kempen Pembersihan Sungai Brunei dan Kampong Ayer anjuran Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) diadakan hari ini, bermula di Taman Mahkota Jubli Emas Sempena Sambutan Hari Bumi 2018.

Kempen gotong-royong itu turut disertai oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar dan Menteri Pembangunan,  Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dalam ucapan alu-aluannya berkata, sambutan Hari Bumi yang diraikan pada 22 April setiap tahun di seluruh dunia adalah sebagai usaha menghargai bumi dan menyemai rasa tanggungjawab serta meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk melindungi bumi dan alam sekitar.

Negara Brunei Darussalam tambahnya, juga tidak terkecuali menyertai masyarakat global dalam meraikan sambutan Hari Bumi yang bertemakan Akhiri Pencemaran Plastik ("End Plastic Pollution") dengan melaksanakan program-program kesedaran alam sekitar sebagai usaha dalam meningkatkan kesedaran masyarakat di negara ini terhadap alam sekitar.

Dayang Dr. Nor Imtihan juga menekankan kepentingan aspek kebersihan Sungai Brunei yang merupakan medium yang dijadikan tempat pengangkutan orang ramai di air dan beriadah, selain mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan berperanan penting dalam meningkatkan tahap sosio-ekonomi negara dari dahulu lagi.

Menurutnya lagi, salah satu tindakan pro-aktif dan sebagai kemudahan kepada penduduk-penduduk Kampong Ayer khasnya, JASTRe juga memberikan perkhidmatan kutipan sampah domestik dari rumah-ke-rumah secara percuma kepada seluruh penduduk-penduduk di Kampong Ayer.

Beliau juga menyeru semua pihak-pihak yang lainnya, termasuk pihak swasta, penduduk-penduduk kampung dan semua lapisan masyarakat sama-sama menangani dan membendung permasalahan ini secara bersepadu agar Negara Brunei Darussalam yang kita cintai ini amnya dan Sungai Brunei khasnya akan bersih untuk sepanjang masa.

Acara kemudian diteruskan dengan demonstrasi penggunaan botol plastik sebagai media untuk bercucuk tanam secara 'vertical farming' yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan termasuk pameran mengenai projek pembersihan Sungai Brunei dan Kampong Ayer yang sedang giat dijalankan pada masa ini.

Diikuti dengan kempen pembersihan yang diadakan di beberapa zon bermula dari Sungai Kedayan dan di sepanjang Dermaga Diraja sehingga ke Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Semasa acara tersebut, tetamu-tetamu kehormat juga membuat lawatan kerja ke projek Pembersihan Kawasan Bawah Rumah dan Bakut Kampong Ayer di Mukim Saba, Mukim Peramu dan Mukim Burong Pingai Ayer.

Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Besar ke Negara Brunei Darussalam; Setiausaha-Setiausaha Tetap; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya; Pegawai Daerah Brunei Muara; Pengerusi Lembaga Bandaran, Bandar Seri Begawan; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ketua-ketua jabatan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments