Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Hujung Minggu Tanpa Plastik hari Khamis bermula 19 April ini

​Oleh: Khartini Hamir | Foto: Hamzah Mohidin

Hari Khamis Tanpa Beg Plastik.jpg

PEMANGKU Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak (kanan) semasa menpengerusikan sidang media penambahan setiap hari khamis tanpa bag plastik bertempat di Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 April. – Penambahan hari Khamis menjadikan empat hari dalam seminggu tanpa beg plastik merupakan kesinambungan Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik yang mana telah memberikan tindak balas yang agak positif daripada orang ramai.

Di samping itu, ia juga bagi menyahut saranan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Persidangan Khas Menteri-Menteri Kabinet pada 7 Februari yang lalu yang antara lain menekankan untuk menangani secara bersepadu tentang kebersihan negara ini dari segala sampah dan kotoran.

Perkara tersebut antara yang dijelaskan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dalam Sidang Media Pelancaran Penambahan Hari Khamis ke arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik sempena Sambutan Hari Bumi 2018 bertempat di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan hari ini.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dalam usaha untuk mengurangkan jumlah sisa buangan yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan, dan pada masa yang sama menyumbang kepada pengurangan jumlah pengeluaran sampah per kapita iaitu 1.4 kilogram (pengeluaran sisa pepejal yang tertinggi di rantau ini) ke satu kilogram per kapita menjelang tahun 2035.

Menurut Dr. Nor Imtihan lagi, seperti yang sedia maklum Inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik adalah merupakan inisiatif yang diungkayahkan oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE) bagi mencapai matlamat meningkatkan kadar penggunaan konsep 3 'R' (Reuse, Reduce, Recycle) ke arah pengurangan jumlah sisa buangan di negara ini.

"Setakat ini sebanyak 50 gedung-gedung dan syarikat-syarikat perniagaan telah menyertai inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik ini secara sukarela atau 'voluntary'" jelasnya.

Dalam pada itu, sebagai langkah untuk menilai sejauh mana keberkesanan inisiatif berkenaan, pada tahun 2015 pihak JASTRE telah membuat satu survey di empat gedung perniagaan di Daerah Brunei dan Muara yang melibatkan lebih dari seribu responden iaitu sebanyak 80 peratus menyokong kebaikan inisiatif tersebut.

Sementara 20 peratus mengongsikan bahawa mereka menggunakan beg guna semula setiap hari (bukan semasa hujung minggu sahaja), 52 peratus memilih hari Khamis sebagai tambahan hari diikuti dengan hari Isnin (18.5 peratus) dan 64 peratus mengetahui dan menyedari kesan-kesan negatif penggunaan beg plastik dan menyokong cadangan untuk memberhentikan penggunaan beg plastik secara menyeluruh.

Oleh demikian melihat kepada keperluan untuk menangani masalah sisa plastik ini, Kementerian Pembangunan melalui JASTRE akan melancarkan penambahan hari Khamis sebagai Hujung Minggu Tanpa Plastik bermula 19 April 2018 ini nanti bersempena dengan sambutan Hari Bumi 2018 yang bertemakan Akhiri Pencemaran Plastik.

Dari segi perancangan pula, penambahan hari-hari lain akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat ke arah penggunaan sifar beg plastik bermula 1 Januari 2019  seperti berikut iaitu penambahan hari Rabu pada bulan Julai 2018, diikuti dengan penambahan hari Selasa pada bulan Oktober 2018 dan akhir sekali penambahan hari Isnin pada penghujung bulan Disember 2018.

Inisiatif ini juga akan melibatkan gedung-gedung dan syarikat-syarikat perniagaan di bawah senarai yang menyertai Inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik, dan dilaratkan lagi kepada pengguna-pengguna beg plastik seperti kedai-kedai runcit, restoran dan gerai-gerai makanan di seluruh negara.

Hadir sama di sidang media berkenaan, Pemangku Pengarah JASTRE, Dayang Martinah binti Haji Tamit.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments