Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Tinjau infrastruktur pembangunan dan perhubungan

Berita dan Foto: Haji Ariffin Mohamad Noor / Morshidi

Lawatan YB Ke Serasa.1.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Menteri Perhubungan diberikan penerangan sebelum membuat lawatan.

MUARA, Khamis, 22 Februari. – Ke arah memastikan infrastruktur perhubungan jalan raya di negara ini berada dalam keadaan selamat dan selesa digunakan oleh para pengguna jalan raya, Kementerian Pembangunan dan Kementerian Perhubungan mengadakan lawatan bersama di kawasan Serasa, Muara.

Lawatan disertai oleh  Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong; Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Awang Javed Ahmad; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Dr. Awang Haji Supry bin Haji Awang Ladi; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; para Pegawai-pegawai Kanan kementerian-kementerian tersebut, DARe dan agensi-agensi berkaitan.

Bermula di pekarangan Masjid Setia Ali di sini, rombongan meninjau perkembangan pembangunan di kawasan Serasa dan Jalan Perusahaan Serasa menuju ke Kawasan Perindustrian Serasa yang berakhir di Kawasan Casting Yard Serasa.

Lawatan YB Ke Serasa.2.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Menteri Perhubungan semasa meninjau infrastruktur perhubungan jalan raya di kawasan Serasa.

Lawatan YB Ke Serasa.3.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Menteri Perhubungan semasa melawat aktiviti di Serasa Casting Yard di Kampung Serasa Muara.

Semasa ditemui Menteri Pembangunan berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melihat keadaan kerosakan jalan-jalan yang turut digunakan oleh jentera berat dan kerja-kerja pembaikan akan dilakukan oleh pihak JKR dengan kerjasama kontraktor terlibat. Seterusnya Yang Berhormat menambah, pada jangka masa panjang jalan-jalan berkenaan juga akan turut dinaiktaraf.

Sementara itu Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib turut menasihatkan orang ramai, termasuk pengguna jalan-jalan raya agar sentiasa waspada semasa memandu melalui jalan-jalan kawasan Serasa memandangkan jalan-jalan tersebut turut digunakan oleh syarikat logistik yang beroperasi di kawasan berkenaan.

Tambah beliau lagi, melalui agensi-agensi dalam Kementerian Perhubungan papan-papan tanda akan dikemas kini dan dipasang.

Kementerian Perhubungan jelasnya, juga akan mengadakan sesi dialog bersama syarikat-syarikat yang terlibat agar peka dan mengikuti peraturan yang berjalan ketika ini.

Di akhir lawatan, rombongan diberikan penerangan mengenai aktiviti-aktiviti yang berjalan berkaitan dengan pembinaan jambatan menghubungkan Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong.

Sehubungan itu, kedua-dua kementerian tersebut serta agensi-agensi yang berkepentingan, memohon kerjasama orang ramai khususnya masyarakat setempat agar bersabar dan memahami keadaan jalan raya yang ada ketika ini, sementara menunggu kerja-kerja pembaikan selesai dilaksanakan oleh pihak kontraktor mengikut tatacara dan piawaian yang ditetapkan oleh JKR.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments