Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Majlis Penyempurnaan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah

​Oleh: Jabatan Kemajuan Perumahan | Foto: Jabatan Penerangan

1_Penyerahan_Anak_Anak_Kunci.jpg

KEBAWAH DYMM mengurniakan anak kunci kepada salah seorang penerima.

TUTONG, Selasa, 20 Februari. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah kepada 601 orang penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Majlis berkenaan diadakan di Dewan Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), Kampong Bukit Beruang, Mukim Telisai. Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di helipad, di Bukit Beruang dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Yang Mulia Awang Haji Adnan bin Haji Adam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Haji Shahril Azman bin Pengiran Haji Metusin, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Mulia Pemangku Pegawai Daerah Tutong.

Pada majlis tersebut, seramai 301 orang menerima rumah jenis kluster dan 53 orang menerima rumah jenis teres dibawah RPN Bukit Beruang bagi Daerah Tutong dan 247 orang pula menerima rumah jenis teres dibawah RPN Lumut dan Lorong Tengah Seria bagi Daerah Belait. Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong.

Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan melawat ke Pusat Tingkatan Enam Tutong. Pusat ini mempunyai seramai 325 orang pelajar dan 63 orang tenaga pengajar. Para pelajar PTET ini datang dari kawasan tadahan yang meliputi Mukim Telisai, Mukim Pekan Tutong, Mukim Tanjong Maya, Mukim Kiudang, Mukim Keriam, Mukim Ukong, Mukim Lamunin dan Mukim Rambai. Bangunan kekal pusat ini mula digunakan pada Januari 2012.

Selesai membuat lawatan di Pusat Tingkatan Enam Tutong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke rumah Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit. Pada keluasan 79.5 kilometer persegi dan dengan jumlah penduduk seramai lebih 10 ribu orang, Kampong Bukit Beruang mencatatkan penduduk teramai dalam kawasan tadahan yang mana ianya termasuk penduduk di kawasan RPN Bukit Beruang.

Dari kediaman Penghulu Mukim Telisai, Kebawah Duli Yang Maha Mulia meneruskan lawatan ke satu lagi institusi pendidikan yang terdapat di mukim berkenaan iaitu Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Tutong Kluster 5. Sekolah rendah ini mempunyai seramai 213 orang penuntut dari Pra hingga Tahun 6. Sekolah ini mula beroperasi pada Januari 1940 dimana pada masa itu, cuma 40 orang murid menuntut di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, institusi pendidikan di negara ini juga terus mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bila mana perkara ini jelas terbukti pada setiap Majlis Penyempurnaan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah di seluruh negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan bercemar duli berangkat melawat ke sekolah-sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi berdekatan bagi meninjau dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini.

Baginda kemudiannya meneruskan lawatan ke rumah-rumah penerima anak-anak kunci di bawah RPN Bukit Beruang, Mukim Telisai. Terdahulu Kebawah Duli Yang Maha Mulia bercemar duli ke rumah para peserta yang menerima rumah jenis kluster, Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Abd Rashid dan Yang Mulia Dayang Hajah Norsalwanawati binti Haji Shahbudin. Pada keluasan 120 meter persegi, setiap unit rumah kluster di kawasan RPN Bukit Beruang ini mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, bilik mandi dan dapur.

Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan melawat rumah para peserta yang menerima rumah jenis teres kepunyaan Yang Mulia Dayang Siti Faizatul Nadzirah binti Haji Johari dan Yang Mulia Dayang Norliza binti Haji Jalil. Keluasan lantai setiap unit teres ialah 106 meter persegi. Unit ini mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, bilik mandi dan dapur.

Pada keluasan 495 hektar, kawasan RPN Bukit Beruang ini secara keseluruhannya mempunyai 530 unit rumah jenis detached, 500 unit rumah jenis kembar, 368 unit rumah jenis kluster dan 1,388 unit rumah jenis teres. Kawasan perumahan ini merupakan satu konsep pembangunan perumahan yang komprehensif dan lengkap dengan ruang tanah untuk kemudahan awam di masa hadapan seperti sekolah, masjid, kemudahan komersial, pusat komuniti, taman dan kawasan rekreasi dan taman permainan.

Diakhir lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Golden Corporation Sendirian Berhad. Golden Corporation telah menjalankan ternakan udang dan pemprosesan makanan laut di negara ini dan telah melabur dalam penggunaan kapal-kapal menangkap ikan dilengkapi teknologi terkini yang berupaya mengakses zon laut dalam yang tidak dapat diakses nelayan tempatan. Syarikat ini juga berhasrat untuk terus berkembang dan menembusi pasaran tempatan dan luar negara, disamping mempromosi nama negara dengan mengeksport produk ke luar negara serta menjamin hasil yang mencukupi dan keselamatan makanan di Negara Brunei Darussalam.

Dapat dilihat sejak wujudnya Rancangan Perumahan Negara, ia terus berkembang dan dinikmati oleh seluruh rakyat dan negara ini. Hingga ke hari ini lebih dari 28 ribu buah rumah di bawah RPN dan STKRJ telah dibina di seluruh negara. Daripada jumlah itu sebanyak 27,045 buah telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan dan dari jumlah tersebut, 1,943 orang adalah pemohon yang berjaya mengikuti RPN bagi Daerah Tutong dan 6,334 orang pemohon bagi Daerah Belait.

Penganugerahan rumah-rumah berkenaan, jelas mencerminkan keprihatinan dan pemedulian baginda kepada rakyat dan penduduk negara ini dan secara langsung membuktikan komitmen Kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita baginda khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan dan mapan dimiliki selaras dengan salah satu objektif Rancangan Kemajuan Negara (RKN) untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Attachments