Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan
SETIAUSAHA Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah mengetuai perarakan bagi pasukan Kementerian Pembangunan.
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 2 Disember. – Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh bersejarah dalam kalendar Tahun Hijrah bagi umat Islam sejagat iaitu hari kelahiran Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Hari berkenaan diraikan dengan perarakan sambil pujian selawat dengan penuh keikhlasan sebagai bukti cinta kita dalam mengenang pengorbanan Baginda demi memperjuangkan agama Islam dan umatnya.
Dalam sama-sama menyemarakkan lagi sambutan berkenaan, hampir 120 orang yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua divisyen dan unit, pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menyertai perarakan sempena Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1439 Hijrah.
Mengetuai pasukan Kementerian Pembangunan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah. Juga menyertai perarakan ini ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.
Perarakan sejauh 3.7 kilometer mengelilingi sebahagian Bandar Seri Begawan itu bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Tema Khas sambutan tahun ini ialah 'Rasulullah Qudwah Pemimpin Adil'.