Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kumpulan Mu@kad memenangi Anugerah Persembahan Terbaik KKC

Oleh: Saerah Haji Abdul Ghani | Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah 

MOD_MU@KAD_KKC.png

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud menyampaikan Anugerah Persembahan Terbaik (Tempat Pertama) – Mu@kad daripada Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 31 Oktober. – Kumpulan Mu@kad daripada Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan diumumkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Terbaik menduduki Tempat Pertama pada Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) Peringkat Kebangsaan Ke-20 Tahun 2017.

Tempat kedua disandang oleh Kumpulan 3GS dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan diikuti tempat ketiga ialah Kumpulan Tekad dari Jabatan Perkhidmatan Awam di Jabatan Perdana Menteri.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud.

Pengarah Institut Perkhidmatan Awam, Dayang Hajah Norezan binti Haji Hambali dalam ucapannya menjelaskan, apabila kita meniti kemajuan KKC sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 1988 sehingga ke hari ini, statistik menunjukkan bahawa hanya lima puluh peratus dari keseluruhan agensi kerajaan di negara ini telah mengikuti atau mengamalkan kaedah KKC. Jelasnya, ini seakan-akan menunjukkan bahawa tahap pembudayaan KKC masih berada di persimpangan.

Bertolak daripada ini katanya, Institut Perkhidmatan Awam berusaha secara berterusan untuk mempelbagaikan strategi, khusus bagi merangsang pembudayaan kaedah KKC dalam perkhidmatan awam.

''Usaha ini bukan sahaja meliputi aspek latihan bahkan juga ditumpukan kepada perkhidmatan klinikal, konsultansi, pembarigaan serta pemantauan pembudayaan KKC,'' ujarnya.

Majlis diisikan dengan tayangan klip video semasa Sesi Terbuka Konvensyen KKC yang melibatkan 10 kumpulan daripada tujuh buah jabatan mewakili lima kementerian yang diadakan pada 21 Oktober lalu.

Penyampaian hadiah bagi pemenang Projek KKC akan diadakan pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-24 yang bakal diadakan pada 22 November 2017.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments