Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Berangkat rasmikan Taman Mahkota Jubli Emas

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad | Foto: Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi, Masri Osman, Hamzah Mohidin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Mohd. Sahrizal Haji Said, Pg. Amirulnizam Pg. Haji Md. Ali, Muhammad Asri Haji Awang Abas

MOD_TMJE_1.png

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan menandatangani plak perasmian.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Oktober. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan perasmian Eko Koridor dan seterusnya berkenan bagi penukaran nama Eko Koridor menjadi Taman Mahkota Jubli Emas.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan kerabat diraja yang lain.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di tempat perasmian dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah.

Kebawah DYMM berkenan merasmikan taman dengan ucapan kalimah Bismillahi Rahman Nirahim dan menandatangani plak perasmian yang diiringi dengan laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' oleh kira-kira 500 orang pelajar.

Sejurus itu, sebanyak tiga biji belon besar dan ribuan belon yang berwarna-warni dilepaskan serta penurunan tabir bagi dinding penamaan Taman Mahkota Jubli Emas juga turunan air terjun sebagai menandakan majlis perasmian.

Baginda berkenan menerima pesambah berupa sebuah buku bertajuk 'Great Heritage' yang disembahkan oleh anakanda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM.

MOD_TMJE_2.png

KEBAWAH DYMM semasa berkenan menerima pesambah berupa sebuah buku bertajuk 'Great Heritage' yang disembahkan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Pemilihan nama taman adalah bersempena Sambutan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Taman Mahkota Jubli Emas merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 yang diterajui oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi RKN.

MOD_TMJE_3.png

SUASANA Perasmian Taman Mahkota Jubli Emas.

Pelaksanaan projek mega itu tidak syak lagi telah mengubah landskap Bandar Seri Begawan menjadi bandar yang lebih moden, dinamik dan menarik.

Ia juga antara mercu tanda yang signifikan di sekitar ibu kota yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk pelancong asing.

Taman tersebut mempunyai keluasan sebelas hektar dan merupakan sebahagian daripada pelan induk perancangan Bandar Seri Begawan yang dapat menjadi wawasan juga sebagai identiti bandar dengan kawasan 'waterfront' bertaraf dunia dan masa yang sama untuk meraikan hubungan melalui Kampong Ayer dengan melihara hutan bakau yang sedia ada.

Antara objektif pembinaannya adalah untuk mengurangkan banjir di kawasan tadahan Sungai Kedayan selain untuk meningkatkan penghubungan dan mempromosi gaya hidup sihat dan menyediakan kawasan baharu bagi pembangunan ekonomi di masa hadapan.

Taman tersebut mempunyai satu jeti yang dinamakan Jeti Darussalam, terletak di hujung teres dan dihubungkan terus ke pintu masuk lstana Darussalam, iaitu tempat orang ramai yang menggunakan pengangkutan air untuk turun dan naik ke kawasan taman berkenaan.

Ia juga dijadikan sebagai warisan memperingati sejarah Istana Darussalam yang merupakan tempat kelahiran Kebawah DYMM dan tempat baginda dibesarkan.

Manakala Riverfront Promenade pula menyediakan kemudahan yang beraneka untuk bersukan dan bermain serta aktiviti luar lainnya, langsung berhadapan dengan sungai.

Trek pejalan kaki dan penunggang basikal selebar enam meter memberikan udara segar di sepanjang Rivefront Promenade yang dihiasi dengan pelbagai tanaman dan pokok yang unik seperti pokok Rainbow Gum dan Willow.

Tempat tersebut sesuai untuk bersiar-siar dan bersantai dalam sebuah ruang yang kondusif bagi semua warga terutama sekali bagi mereka yang membawa anak kecil, warga emas dan mereka yang ingin mencari pengalaman baharu.

Di sepanjang Riverfront Promenade, lantainya dilapisi dengan batu granit yang mempunyai makna, diilhamkan oleh warisan Brunei, iaitu 'Kain Sinjang' yang dicampur dengan corak geometrik Islam, untuk mewujudkan hubungan kuat dengan konsep Melayu Islam Beraja (MIB).

Grand Entrance atau Pintu Utama taman tersebut merupakan sebuah jalan bersebelahan dengan Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang direka khusus untuk kegunaan majlis perarakan.

Ciri utama di sepanjang jalan adalah barisan air pancut yang berfungsi sebagai pernyataan pintu masuk yang dihiasi dengan pokok Copernicia Alba di kedua belah jalan.

Mendekati pusat taman, terletak susunan tiga baris pokok Terminalia dan Cassia Fistula berwarna-warni dan anggun yang mampu mewujudkan komposisi canggih di sepanjang koridor.

Terdapat reka bentuk keris yang ikonik berdekatan air pancut berlatarbelakangkan Masjid Omar 'Ali Saifuddien, memberikan maklumat seperti peta taman dan sejarah masjid untuk pengetahuan para pengunjung.

Ia direka bentuk berdasarkan bendera negara serta warna-warna yang mencerminkan kesan tiga dimensi kotak, yang menjadikan identiti Brunei lebih jelas lagi.

Sementara itu, Jambatan Pejalan Kaki Sultan Omar 'Ali Saifuddien berfungsi sebagai karya di kawasan tersebut yang melambangkan hubungan di antara masa lalu, sekarang dan hadapan Brunei.

Bulan sabit di tengah-tengah jambatan melambangkan Islam menyatu sempurna dengan suasana taman untuk kewujudan mercu tanda bandar baharu.

Jambatan dengan bulan sabitnya yang akan diterangi lampu di malam hari bukan saja berfungsi sebagai ciri ikonik, tetapi lebih pada satu perjalanan spatial, di mana pengunjung dapat berjalan-jalan melihat keindahan Sungai Kedayan dari kedua belah hujung jambatan.

Inspirasi taman ini adalah dari warisan Brunei, iaitu 'Air Muleh' yang diterapkan di pelan taman, agar dapat memberikan pengalaman ciri-ciri reka bentuk ketika berjalan-jalan di sekitar taman berkenaan.

Bersama-sama dengan rangkaian lampu bercorak bebola bunga yang berwarna-warni dan pohon-pokok Baobab, Jacaranda Mimosifolia, Lagestromia Floribunda dan Cassia Grandis, taman ini juga mampu menciptakan suasana yang hidup dan dinamis.

Taman dirancang untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah 'Negara Zikir'.

Terdapat 'Dinding Sejarah' di kedua sayap taman untuk mengingati sejarah dan penduduk asli Kampong Ayer dengan memaparkan latar belakang bagaimana kampung masing-masing dinamakan dengan harapan akan dapat memotivasi orang ramai untuk menghargai tradisi dan kebudayaan Brunei.

Maklumat tersebut ditempatkan pada corak reka bentuk berdasarkan lslam, dengan warna bendera Islam dan bendera negara, yang dipadukan dengan tema taman serta kawasan sekitarnya.

Di sepanjang dinding, terdapat juga dinding mercu tanda dengan nama taman berbentuk siluet berdasarkan pada mercu tanda Negara Brunei Darussalam.

Reka bentuk dinding sebelah luar diilhamkan dari warisan Brunei, iaitu 'Kain Tenunan' dengan warna bendera negara apabila dilihat dari jarak jauh, tetapi apabila berdekatan, garis reka bentuk itu didasarkan pada kerajinan di 'Kain Tenunan' itu sendiri.

Di teras atas sebelum menuju ke jambatan, terdapat lima buah panel 'Demi Masa' yang mencerminkan reka bentuk dinding luar, bertujuan untuk mengingatkan pentingnya hidup dalam kebenaran, kesabaran dan keimanan melalui penempatan lima karya seni khas yang menampilkan maklumat mengenai solat lima waktu.

Ia mencerminkan secara konsep akan pentingnya kita menghargai masa dengan amalan yang benar.

Taman tersebut juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk orang ramai seperti tempat duduk, tong-tong sampah dan tandas awam.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments