Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Bebas pencemaran jerebu menjelang 2020

​Berita dan Foto: Hernie Suliana Haji Othman

1_AATHP_jastre.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah memberikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Ke-13 Pihak-Pihak Bagi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-13th to AATHP).

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 September. – Menteri-Menteri bertanggungjawab terhadap alam sekitar dari Negara-Negara Anggota ASEAN (ASEAN Member States-AMS) telah mengadakan Persidangan Ke-13 Pihak-Pihak Bagi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-13th to AATHP) yang diadakan berterusan selepas Mesyuarat Ke-14 Mesyuarat Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME Ke-14) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Seramai 100 delegasi dari AMS, wakil dari Sekretariat ASEAN, wakil dari Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) dan pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan bersidang untuk mempertimbangkan dan menerima laporan kemajuan Mesyuarat Ke-13 Jawatankuasa (COM-13) kepada agenda-agenda AATHP yang telah diadakan pada 11 September 2017. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah.

Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat mengucapkan penghargaan kepada AMS di atas usaha berterusan dalam menjalankan peranan masing-masing menangani masalah kebakaran tanah dan hutan untuk memastikan rantau ini bebas pencemaran asap menjelang tahun 2020.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

AATHP bertujuan untuk mencegah dan memantau pencemaran jerebu merentas sempadan akibat kebakaran tanah hutan yang perlu dikurangkan melalui kerjasama dan usaha bersepadu serta bersungguh-sungguh negara di samping kerjasama serantau dan antarabangsa.

Perjanjian ditandatangani pada 10 Jun 2002 di Kuala Lumpur, Malaysia dan mula berkuatkuasa pada tahun 2003 di bawah pengurusan Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN dan lain-lain perwakilan dari negara anggota ASEAN.

AATHP antaranya mengandungi langkah-langkah untuk pemantauan dan penilaian, pencegahan, kesediaan, tindak balas kecemasan, prosedur untuk penempatan rakyat, bahan dan peralatan merentas sempadan, serta kerjasama teknikal dan penyelidikan saintifik.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments