Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

AMBD - Jabatan Kemajuan Perumahan tandatangani perjanjian

Siaran Akhbar: Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD)

1_AMBD-JKP.jpg

SETIAUSAHA Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah (kiri) bertukar memorandum perjanjian bersama Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abd. Rahman.

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 8 September. - Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) baru-baru ini menandatangani Participant Service Agreement dengan Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP), Kementerian Pembangunan.

JKP adalah sebuah jabatan di bawah Kementerian Pembangunan yang bertanggungjawab dalam menyediakan dan membuat penilaian serta pemilihan rumah-rumah bagi pemohon-pemohon yang berkelayakan di bawah Skim Rancangan Perumahan Negara (RPN) Negara Brunei Darussalam.

Majlis Penandatanganan tersebut diadakan di Ibu Pejabat Kementerian Pembangunan, Berakas, Negara Brunei Darussalam.

Menandatangani bagi pihak JKP ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah dan disaksikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Mohd. Zakaria bin Haji Sarudin.

Manakala menandatangani bagi pihak AMBD ialah Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abd. Rahman dan disaksikan oleh Penolong Pengarah Eksekutif (Biro Kredit), Awang Mohammed Roaizan bin Haji Johari.

Participant Service Agreement membolehkan JKP untuk berkongsi maklumat kredit penerima-penerima RPN di bawah bidang kuasa JKP pada Biro Kredit, AMBD. Perjanjian ini juga membenarkan pihak JKP untuk mendapatkan laporan kredit yang disediakan oleh Biro Kredit untuk membantu pihak JKP dalam membuat penilaian 'creditworthiness' atau kebolehpercayaan kredit pemohon-pemohon RPN.

Matlamat utama bagi kerjasama ini adalah untuk membantu pihak JKP membuat penilaian yang lebih baik bagi menentukan kesesuaian jenis skim perumahan dengan mengambil kira keupayaan membuat pembayaran balik serta dalam memenuhi komitmen kewangan pemohon-pemohon RPN.

Dengan cara ini, ia akan dapat memastikan penerima-penerima perumahan tersebut tidak dibebani dengan komitmen kewangan yang terlalu tinggi dalam jangka masa yang panjang.

Inisiatif kerjasama ini adalah selaras dengan perancangan pembangunan strategik Biro Kredit dalam memperluaskan liputan maklumat kredit selain daripada maklumat kredit yang biasa diperoleh dari bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan.

Objektif pengumpulan data-data nilai tambah sepertimana yang diperoleh dari pihak JKP ialah sebagai maklumat tambahan pada maklumat perbankan yang sedia ada, yang mana ia akan dapat memberikan gambaran yang lebih holistik tentang kedudukan kredit seseorang individu dan seterusnya meningkatkan lagi pengurusan risiko kredit institusi-institusi kewangan.

Biro Kredit di AMBD mengumpul, menyatukan maklumat-maklumat kredit yang disediakan oleh pembekal-pembekal maklumat. Maklumat-maklumat ini disatukan dalam bentuk laporan kredit, yang mana digunakan bagi tujuan penilaian kepercayaan kredit.

Pada masa ini, pembekal-pembekal maklumat Biro Kredit terdiri dari bank-bank, syarikat-syarikat kewangan dan tabung amanah islam yang berlesen serta pembekal-pembekal perkhidmatan telekomunikasi dan utiliti di Negara Brunei Darussalam, iaitu DST Communication Sendirian Berhad, Telekom Brunei Berhad (TelBru), Progresif Cellular Sendirian Berhad juga Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

Untuk maklumat lanjut mengenai Biro Kredit AMBD, sila layari 'http://www.ambd.gov.bn/birokredit' atau melalui e-mel 'birokredit@ambd.gov.bn'.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments