Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Majlis penyampaian sijil kepada ahli-ahli ASEAN Architects dan ASEAN Chartered Professional Engineers

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

IMG_2314_BAPEQS.JPG

 PEMANGKU Menteri Pembangunan, Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar bergambar ramai bersama para arkitek, jurutera profesional dan juruukur bahan yang hadir.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 Mei. - Majlis penyampaian sijil kepada ASEAN Architects (AA) dan ASEAN Chartered Professional Engineers (ACPE) serta pelantikan ahli-ahli baru Lembaga Jurutera Profesional, Arkitek dan Juruukur Bahan (BAPEQS) dan juga penghargaan kepada ahli-ahli BAPEQS telah diadakan baru-baru ini di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Khairul Ezam bin Haji Mohd Zain, pegawai dari Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan.

Majlis disusuli dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

IMG_2232_BAPEQS.JPG

 SETIAUSAHA Tetap (Teknikal dan Profesional), Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Dalam ucapannya, Kementerian Pembangunan sentiasa menyokong para arkitek, jurutera profesional dan juruukur bahan tempatan demi kepentingan Negara Brunei Darussalam untuk mencapai tahap kualiti yang cemerlang bagi pembangunan negara di masa hadapan.

Sehingga kini, sembilan daripada 41 orang (22 peratus) arkitek tempatan telah berjaya berdaftar sebagai ASEAN Architects. Sementara itu, 11 daripada 38 orang (28 peratus) jurutera profesional tempatan telah didaftarkan sebagai ASEAN Chartered Professional Engineers.

Permohonan sebagai ASEAN Architects dan Professional Engineers di negara ini dinilai oleh Jawatankuasa Pemantauan Negara Brunei Darussalam dibawah BAPEQS yang berperanan sebagai Lembaga Pengawalan Profesional dan cadangan daripada pihak berkenaan adalah disahkan oleh ASEAN Architectural Council dan ASEAN Chartered Professional Engineers Council. Permohonan ini adalah dinilai bagi mematuhi kriteria dalam Mutual Recognition Agreement on Architectural and Professional Engineering Services.

Awang Haji Marzuke juga menekankan mengenai kepentingan bagi para jurutera profesional, arkitek dan juruukur bahan untuk berdaftar sebagai ASEAN Professional yang mana antara faedahnya ialah dari segi mobiliti dan aliran bebas perkhidmatan jurutera profesional, arkitek dan juruukur bahan di dalam ASEAN.

Sebelum itu, Awang Haji Marzuke juga mengucapkan tahniah kepada kepada ahli-ahli ASEAN Architects dan ASEAN Chartered Professional Engineers yang telah berdaftar sebagai ASEAN Professional. Beliau juga mengucapkan tahniah di atas pelantikan ahli-ahli BAPEQS yang baru dan juga memberikan penghargaan kepada ahli-ahli BAPEQS yang diganti.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada ahli-ahli ASEAN Architects dan ASEAN Chartered Professional Engineers yang berdaftar dan ahli-ahli BAPEQS yang baru dilantik serta penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli BAPEQS yang diganti. Penyampaian sijil disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

IMG_2258_BAPEQS.JPG

IMG_2269_BAPEQS.JPG

IMG_2277_BAPEQS.JPG

IMG_2279_BAPEQS.JPG

 PEMANGKU Menteri Pembangunan menyampaikan sijil kepada beberapa orang ahli ASEAN Architects (AA) dan ASEAN Chartered Professional Engineers (ACPE).

Majlis pada pagi tersebut juga turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abd Razak, Ketua-Ketua Jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari kementerian Pembangunan serta para jemputan khas yang terdiri daripada arkitek, jurutera profesional dan juruukur bahan tempatan.

 BAPEQS1-vert.jpg

Attachments