Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pembarigaan Akta Hak Milik Strata

Oleh: Rohani Haji Abdul Hamid | Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

1_pembarigaanakta.jpg

HADIR selaku tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Februari. - Bagi mengukuhkan pengetahuan dan mengemas kini kakitangan terutama kakitangan baharu mengenai Strata, Kanun Tanah (Strata) Bab 189, kelebihan dan prosedur dalaman antara unit, Jabatan Tanah  telah mengadakan Jerayawara Pembarigaan Akta Hak Milik Strata yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Jerayawara berkenaan diisikan dengan sesi-sesi taklimat dan diselajurkan dengan pelancaran video pelaksanaan Akta Hak Milik Strata oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Pesuruhjaya Tanah, Datin Dayang Hajah Zainon binti Abang Haji Omarzuki.

Taklimat-taklimat yang disampaikan menyentuh beberapa tajuk iaitu 'Pengenalan Akta Hak Milik Strata', 'Proses Pecah Bahagi Bangunan Strata', 'Proses Pindah Milik Strata', 'Proses Pendaftaran Hak Milik Strata' dan 'Strata Corporation' yang telah disampaikan oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Tanah.

2_pembarigaanakta_o.jpg

TAKLIMAT disampaikan oleh wakil dari jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan.

Penguatkuasaan Kanun Tanah (Strata) Bab 189 telah bermula sejak 1 Julai 2009, walau bagaimanapun permohonan hak milik strata belum lagi popular berbanding dengan negara-negara jiran.

Besar kemungkinan ini adalah kerana orang ramai masih belum mendapat makluman jelas mengenai hak milik strata, kelebihannya dan bagaimana mereka mendapatkan hak milik strata.

Sehubungan itu, untuk mengatasi masalah ini ialah dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan Jabatan Tanah melalui pembarigaan ini bagi membolehkan mereka menjadi lebih jelas ke arah menangani sebarang pertanyaan orang awam dan melancarkan lagi proses permohonan strata.

Setakat ini, pihak jabatan tanah telah berjaya mendaftarkan dan mengeluarkan 42 keping geran hak milik strata (42 unit) yang berasal dari dua keping lot tanah.

3_pembarigaanakta.jpg

ANTARA yang hadir pada Jerayawara Pembarigaan Akta Hak Milik Strata di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan. (Gambar atas dan bawah)

4_pembarigaanakta.jpg

Dengan kejayaan pembarigaan jerayawara dan siri-siri pembarigaan berikutnya pada masa akan datang, ia diharapkan dapat membantu meningkatkan kadar permohonan yang mana pembarigaan ini ditujukan kepada pihak-pihak berkepentingan luar seperti pemilik lot tanah, pemaju, syarikat swasta dan sebagainya.

Di antara taklimat yang disampaikan adalah mengenai dengan maksud Unit Aksesori iaitu ruang petak lain yang digunakan secara eksklusif oleh pihak pemilik unit utama dan bukan untuk kegunaan bersama. Sebagai contoh taman bunga, kolam renang, letak kereta, stor, tangga dan lain-lain penggunaanya khusus untuk sesebuah unit utama.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments