Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Permuzakarahan Kementerian Pembangunan bersama ahli-ahli MMN yang baharu

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Permuzakarahan Kementerian Pembangunan bersama ahli-ahli MMN yang baharu.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan, Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ketua-Ketua Jabatan, Divisyen dan Unit di Kementerian Pembangunan semasa bergambar ramai bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

BERAKAS, Khamis, 9 Februari. – Kementerian Pembangunan, hari ini mengadakan sesi permuzakarahan bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas.

Mengalu-alukan kehadiran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke sesi muzakarah ini ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Sesi pemuzarakahan ini didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, dan disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan, diikuti dengan ucapan balas daripada Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas B, selaku ketua rombongan bagi mewakili Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

2_Permuzakarahan Kementerian Pembangunan bersama ahli-ahli MMN yang baharu.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara seterusnya diberikan taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, dan diikuti dengan tayangan klip Video Korporat Kementerian Pembangunan.

Sesi muzakarah ini bertujuan untuk memberikan penerangan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang baharu dilantik mengenai peranan, visi dan misi Kementerian Pembangunan dan peranannya dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035 termasuk projek-projek infrastruktur seperti sistem jalan raya, sistem saliran dan pembentungan, dan perumahan negara.

Sesi muzakarah ini juga dijadikan sebagai satu 'platform' untuk berbincang secara terbuka di antara kedua-dua belah pihak mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi dalam memenuhi keperluan dan permintaan yang kian meningkat. Ia juga diharapkan untuk membaiki lagi mutu perkhidmatan dalam penyediaan prasarana yang berkualiti sepertimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035 iaitu ke arah mencapai kualiti kehidupan yang tinggi.

Turut hadir semasa sesi muzakarah ini ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

Attachments