Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

JASTRE raikan Hari Ozon Sedunia 2022
Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_JASTRE raikan Hari Ozon Sedunia 2022.jpeg

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya melancarkan Hari Ozon Sedunia 2022.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 November. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi tidak terkecuali daripada menyertai masyarakat global bagi memperingati Hari Ozon Sedunia 2022, yang lazimnya disambut secara global sejak ianya diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai hari Antarabangsa bagi Pemeliharaan Lapisan Ozon dan dalam memperingati tarikh penandantangan Protokol Montreal pada 16 September 1987.

Ia telah menjadi wadah bagi menekankan keperluan untuk bertindak secara kerjasama, menjalin perkongsian dan membangunkan kerjasama secara global dalam melindungi ozon sambil menangani cabaran iklim untuk melindungi kehidupan di bumi untuk generasi yang akan datang.

Hadir semasa acara tersebut selaku Tetamu Kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

2_JASTRE raikan Hari Ozon Sedunia 2022.jpeg

ANTARA tetamu-tetamu yang hadir.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit.

Acara diikuti dengan ucapan dan seterusnya pelancaran Hari Ozon Sedunia 2022 oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan.

Dalam ucapannya, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan telah menyentuh mengenai tema Hari Ozon Sedunia tahun ini iaitu 'Montreal Protocol@35: Global Cooperation Protecting Life on Earth' dengan slogan “Ozone for All", mencerminkan obligasi kolektif semua ahli negara parti kepada konvensyen Vienna dan Protokol Montreal bagi memastikan lapisan ozon dipulihkan dan terjaga dari ancaman gas-gas yang menghakis lapisan ozon (Ozone Depleting Substances (ODS)) ini. Kesan negatif dari penipisan lapisan ozon ini akan akan meningkatkan sinaran UV yang sampai ke permukaan bumi, justeru boleh memberikan impak negatif kepada kesihatan seperti penyakit katarak dan kanser kulit.

Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) juga menekankan bahawa pihak Protokol Montreal telah mendapati gas alternatif yang digunakan untuk menggantikan ODS ini merupakan gas yang mempunyai nilai 'Global Warming Potential (GWP)' yang tinggi dan boleh menyebabkan kesan negatif kepada iklim. Melalui Pindaan Kigali yang diperkenalkan dan dikuatkuasakan sejak tahun 2019, peralihan kepada gas alternatif baharu yang bersifat 'Low GWP' telah diperkenalkan.

Oleh itu, tambahnya, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi telah menghasilkan satu buku panduan bagi mengambil kira langkah-langkah keselamatan kerana gas ini bersifat 'Flammable'. Buku Panduan ini mengandungi tatacara 'Best Practices' bagi pengendalian dan pengurusan gas-gas 'Flammable' dan Negara Brunei Darussalam merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menghasilkan buku panduan seperti ini.

Beliau turut mengongsikan beberapa aktiviti yang telah disusun oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi bagi meraikan sambutan Hari Ozon Sedunia tahun ini. Salah satunya ialah jerayawara yang berkonsepkan promosi kesedaran perlindungan lapisan ozon dimana pelbagai usaha, program dan perkhidmatan yang menjurus kepada perlindungan dan pemulihan lapisan ozon dapat dilihat melalui inisiatif dari agensi-agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat perkhidmatan swasta.

Acara diikuti dengan perasmian jerayawara 'Ozone for All' dan pelancaran Buku Panduan untuk 'Safe Handling of Low-GWP (Flammable) Refrigerants' oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan.

3_JASTRE raikan Hari Ozon Sedunia 2022.jpeg

SESI bergambar ramai bersama pemenang-pemenang Pertandingan Seni 'Asia-Pacific Regional Ozone2Climate'.

Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Seni 'Asia-Pacific Regional Ozone2Climate' oleh Tetamu Kehormat.

Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Belia (bagi 15 tahun kebawah) dan Kategori Umum (bagi 15 tahun keatas). Terdapat dua kategori di bawah kategori Belia iaitu kategori Melukis dan Rekabentuk Grafik. Tiada pemenang pertama bagi kedua kategori di bawah 15 tahun. Bagi Kategori Umum pula, terdapat tiga kategori iaitu Melukis, Rekabentuk Grafik dan Fotografi. Kategori Melukis telah dimenangi oleh Awang Muhammad Hanis bin Zaini manakala bagi kategori Rekabentuk Grafik disandang oleh Dayang Nurulain binti Rosli. Tiada pemenang pertama bagi kategori Fotografi di atas 15 tahun keatas.

Di akhir acara, Tetamu Kehormat meninjau ke pameran jerayawara termasuk galeri karya seni daripada pemenang-pemenang pertandingan dan pameran dari agensi-agensi kerajaan serta syarikat-syarikat 'Refrigerants Air-Conditioning (RAC)' yang ikut serta.

Turut hadir semasa acara tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh, Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan dari Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Tenaga di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan.

Jerayawara yang bertemakan 'Ozone for All' dibukakan kepada orang ramai pada 19 dan 20 November 2022 bermula dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam di aras bawah, kawasan atrium, Pusat Membeli-Belah Times Square.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments