Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mesyuarat COP ke-17 Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan
Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Mesyuarat COP ke-17 Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.jpeg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid bergambar ramai dengan ahli-ahli COP-17 lain yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

REPUBLIK SINGAPURA, Khamis, 20 Oktober – Mesyuarat Ke-17 Persidangan Ahli-Ahli Parti Kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (COP-17) telah diadakan pada 20 Oktober 2022 di Republik Singapura. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Menteri, pegawai dan/atau wakil alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu, dari Negara Anggota ASEAN, dan juga dihadiri oleh Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN, dan Mesyuarat di pengerusikan oleh Puan Yang Terutama Grace Fu, Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Republik Singapura. Mesyuarat ke-17 Jawatankuasa di bawah Persidangan Ahli-Ahli kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (COM-17) telah terlebih dahulu diadakan.

Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Yang Mulia Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abd Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan dan Pegawai-Pegawai Kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

2_Mesyuarat COP ke-17 Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.jpeg

TURUT menghadiri mesyuarat, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abd Razak, dan juga pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Mesyuarat mengambil maklum mengenai kajian dan tinjauan keadaan cuaca dan jerebu asap yang dilaporkan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN, ASEAN Specialised Meteorological Centre, (ASMC). Di sub-wilayah Mekong, tempoh cuaca kering yang berpanjangan antara Januari dan April 2022 menyumbang kepada peningkatan aktiviti titik panas dan asap jerebu. Keadaan bertambah buruk pada awal hingga pertengahan April 2022. Walaubagaimanapun, dengan turunan hujan yang berlaku pada akhir bulan April telah mengurangkan kejadian titik panas di kawasan tersebut. Jumlah keseluruhan titik panas di sub-wilayah Mekong adalah sekitar 23% pada 2022 iaitu lebih rendah berbanding 2021 antara Januari dan September.

Turunan hujan lebih banyak didapati dari biasa di banyak bahagian kawasan selatan ASEAN semasa musim kemarau. Tempoh keadaan kering yang sering terjadi pada awal hingga pertengahan Ogos 2022 telah membawa kepada peningkatan kawasan panas dan asap jerebu. Walau bagaimanapun, risiko jerebu rentas sempadan kekal rendah bagi rantau ASEAN Selatan. Kiraan keseluruhan jumlah titik panas bagi rantau ASEAN Selatan adalah sekitar 12% pada 2022, lebih rendah berbanding 2021 antara Januari dan September.

Bermula pertengahan bulan Oktober hingga hujung tahun ini, keadaan La Niña diramalkan berterusan dan fasa negatif IOD dijangka lemah. Aktiviti titik panas dijangka meningkat di sub-wilayah Mekong dengan bermulanya musim kemarau tradisi pada bulan Disember 2022.

Mesyuarat COP ke-17 juga menyatakan inisiatif ASMC dalam memajukan keupayaan menggunakan remote sensing dan sistem haze dispersion modelling bagi memantau dan menilai kebakaran dan keadaan jerebu. ASMC memaklumkan kepada Mesyuarat bahawa Program Pembinaan Keupayaan Serantau ASMC akan dilanjutkan selama lima tahun lagi sehingga 2027, dengan program baharu seperti program latihan di ASMC.

Yang Berhormat, Menteri Pembangunan berkongsi bahawa Negara Brunei Darussalam mengalami kualiti udara yang baik tanpa asap jerebu rentas sempadan secara berterusan sepanjang tahun lalu. Akan tetapi, disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak menentu dari kesan perubahan iklim, Negara-Negara Anggota ASEAN perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan kerana perubahan iklim adalah nyata dan telah menunjukkan impak yang jelas. Ini termasuk meningkatkan usaha di peringkat kebangsaan dan serantau untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh mengakibatkan pencemaran jerebu rentas sempadan.

Mesyuarat mengambil maklum maklumat yang dilaporkan oleh Malaysia mengenai penambahbaikan Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran Asia Tenggara (SEA FDRS) yang terdiri daripada tiga elemen: (i) peningkatan bilangan stesen cuaca (ii) menambahbaik kod bahaya kebakaran bagi utara Asia Tenggara; dan (iii) simulasi ramalan 7 hari. Mesyuarat selanjutnya mengambil maklum mengenai hasrat Malaysia untuk terus memperhalusi SEA FDRS dan menggalakkan penggunaan terhadap penambahbaikan baharu tersebut.

Mesyuarat merakamkan penghargaan atas pelbagai inisiatif dan tindakan yang dijalankan oleh Negara Anggota ASEAN dan usaha berterusan dalam mengukuhkan keupayaan negara untuk tindakan dan kerjasama serantau dalam penilaian, pencegahan, mitigasi dan pengurusan kebakaran lahan dan/atau hutan serta jerebu. Mesyuarat tersebut menekankan bahawa walaupun La Nina telah mengakibatkan pencemaran jerebu merentas sempadan yang sederhana pada tahun lalu, Mesyuarat menyedari bahawa peningkatan ancaman daripada perubahan iklim, seperti kemarau yang lebih kerap atau berpanjangan dan kejadian cuaca ekstrem lain, akan menimbulkan cabaran alam sekitar di seluruh rantau ini. Mesyuarat bersetuju tentang kepentingan mengambil tindakan tegas untuk meningkatkan kewaspadaan, langkah pencegahan, dan prosedur pemadaman kebakaran yang cepat untuk mengurangkan kebakaran lahan dan hutan serta mengurangkan kejadian jerebu rentas sempadan semasa tempoh cuaca kering.

Mesyuarat mengesahkan komitmen dari negara-negara parti ke arah pelaksanaan yang berkesan terhadap Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan, The ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP) serta menyediakan Peta Jalan baharu Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (Peta Jalan Bebas Jerebu), Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation (Haze-free Roadmap) 2022-2030 dan Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN baharu, ASEAN Peatland Management Strategy (APMS) 2022-2030. Mesyuarat berharap untuk memperkukuh dan mempergiatkan lagi usaha kerjasama di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa melalui penggunaan Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu dan APMS baharu untuk menangani secara menyeluruh punca pencemaran jerebu rentas sempadan dan meneruskan konteks menyeluruh bagi pembangunan yang berdaya tahan di rantau ini.

Mesyuarat tersebut mengambil maklum mengenai Pasukan Petugas ASEAN Tanah Gambut, ASEAN Task Force on Peatlands (ATFP) dan Jawatankuasa di bawah Persidangan Ahli-Ahli Parti Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (COM) untuk memanfaatkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan. Mesyuarat juga menekankan bahawa beberapa cabaran pencemaran jerebu merentas sempadan boleh ditangani dengan lebih baik dengan dengan tahap komitmen dan pelaburan yang lebih tinggi. Mesyuarat mengalu-alukan pembangunan Rangka Kerja Pelaburan untuk Bebas Jerebu, Pengurusan Tanah Yang Berdaya Tahan di Asia Tenggara dan mengutamakan tindakan peringkat kebangsaan dan serantau mengenai pengurangan jerebu dan membolehkan aliran dana dan peluang untuk pembangunan program dan projek bersama di kalangan Negara Anggota ASEAN dan pihak berkepentingan lain.

Mesyuarat menantikan penyelesaian terhadap Perjanjian Penubuhan dan Perjanjian Negara Tuan Rumah bagi Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan, the ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC) dan operasi pusat tersebut di Indonesia. Mesyuarat menggariskan bahawa ACC THPC yang lengkap akan membantu untuk melaksanakan penyelarasan dan pelaksanaan yang lebih pantas dan berkesan bagi semua aspek di bawah AATHP dengan semua pihak yang berkaitan, termasuk melalui penyelarasan yang berkesan bagi menangani masalah pencemaran jerebu rentas sempadan, dan menggalakkan pengurusan hutan lestari dan pemuliharaan tanah gambut. Mesyuarat juga mengiktiraf sumbangan Interim ACC THPC, termasuk mengenai penyatuan dan analisis data pemantauan jerebu negara sementara menunggu penubuhan ACC THPC.

Mesyuarat menghargai kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi dalam melaksanakan program jangka panjang iaitu: Penggunaan Lestari Tanah Gambut dan Pengurangan Jerebu di ASEAN, Sustainable Use of Peatland and Haze Mitigation in ASEAN (SUPA) dan Measurable Action for Haze-Free Sustainable Land Management in Southeast Asia (MAHFSA). Mesyuarat menggariskan keperluan perkongsian dengan Rakan Kongsi ASEAN dan pihak luar lain yang berterusan untuk memudahkan pencegahan, pemantauan, kesiapsiagaan dan tindak balas yang lebih baik terhadap lahan dan/atau kebakaran hutan melalui rangka kerja kerjasama peringkat tempatan, kebangsaan dan serantau yang kukuh.

Mesyuarat mengambil maklum mengenai laporan Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri bagi Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC) dan the Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution in the Mekong Sub-Region (MSC Mekong) dalam mengesahkan komitmen yang perlu dilaksanakan oleh negara-negara anggota untuk membuat persiapan bagi menghadapi musim kemarau yang akan datang dan menangani isu berkaitan jerebu yang berlaku di sub-rantau masing-masing.

Mesyuarat Ke-18 Persidangan Ahli-Ahli Parti Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan akan diadakan pada 2023 di Laos PDR, sejurus selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar ke-17.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments