Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Minggu Tindakan Iklim dilancarkan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan dan Jabatan Penerangan

2_Minggu Tindakan Iklim dilancarkan.jpeg

TETAMU kehormat bersama semasa melancarkan Minggu Tindakan Iklim di Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Mid-Year Conference and Exhibition – Brunei MYCE 2022). (Foto ehsan Jabatan Penerangan)

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Jun. – Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Mid-Year Conference and Exhibition – Brunei MYCE 2022) diteruskan lagi dengan Minggu Tindakan Iklim yang dikelolakan oleh Kementerian Pembangunan selaku Penganjur Bersama BRUNEI MYCE 2022.

Majlis pelancaran bagi minggu tersebut berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat bersama ke majlis ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pengangkutan dan Info-Komunikasi, Yang Berhormat Pengiran Haji Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Masjid, Masjid Jame 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong, Yang Mulia Begawan Mudim Haji Abd Latif bin Haji Saman.

Majlis diteruskan dengan kata-kata aluan daripada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Bagi Minggu Tindakan Iklim, Mid-Year Conference and Exhibition (MYCE) 2022 dan diikuti dengan ucapan daripada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

1_Minggu Tindakan Iklim dilancarkan.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa memberikan ucapan.

Kesemua tetamu kehormat kemudian meneruskan sesi lawatan ke petak-petak pameran yang memfokuskan tema Minggu Tindakan Iklim iaitu 'Towards A Low Carbon and Climate-Resilient Brunei Darussalam'.

3_Minggu Tindakan Iklim dilancarkan.JPG

4_Minggu Tindakan Iklim dilancarkan.JPG

TETAMU kehormat bersama semasa melawat beberapa petak pameran.

Salah satu tarikan di pameran tersebut ialah terowong yang dikenali sebagai "Tunnel of Inconvenient Truth" yang dicipta khas untuk para pelawat untuk merasakan pengalaman perubahan iklim dari suhu sekarang kepada satu tahap bila mana manusia tidak lagi mampu terdedah kepada kehangatan luar terlalu lama.

Minggu Tindakan Iklim ini terbahagi kepada dua acara iaitu forum persidangan dan pameran yang akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa mulai hari ini sehingga 25 Jun 2022 dan Festival Eko yang akan diadakan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada hari Ahad, 26 Jun 2022.

Forum dan bengkel akan menampilkan penceramah undangan dari dalam dan luar negara termasuk Jepun, Singapura, Indonesia dan Vietnam. Tajuk-tajuk yang dibincangkan akan menyentuh mengenai Carbon Market, Electric Vehicles, Clean Energy, Nature Based Solutions, Climate Resilient Infrastructure, Climate Resilient Crop dan Research and Innovation on Adaptation and Resilience.

5_Minggu Tindakan Iklim dilancarkan.JPG

MINGGU Tindakan Iklim juga diisikan dengan forum yang menampilkan penceramah undangan dari dalam dan luar negara.

Objektif forum dan bengkel ini antara lain adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya mengenai industri-industri utama dan memberi kefahaman mengenai tindakan iklim secara keseluruhan iaitu dengan mengurangkan pengeluaran gas karbon melalui aktiviti-aktiviti harian.

Selain itu, forum dan bengkel ini juga menggariskan penggunaan perkhidmatan kehijauan atau lebih dikenali sebagai 'green services' melalui penggunaan panel suria di tempat kediaman persendirian, bangunan-bangunan kompleks dan industri-industri berkepentingan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh.

Sumber: Siaran Akhbar Jawatankuasa Media dan Promosi, Minggu Tindakan Iklim – MYCE 2022.

Attachments