Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Brunei hadiri 4th Asia-Pacific Water Summit di Jepun

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Brunei hadiri 4th Asia-Pacific Water Summit di Jepun.jpeg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak 4th Asia-Pacific Water Summit di Jepun.

KUMAMOTO, JEPUN, Sabtu, 23 April. – Negara Brunei Darussalam, menerusi Kementerian Pembangunan dan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Tokyo, Jepun telah menghadiri 4th Asia-Pacific Water Summit yang diadakan pada 23 hingga 24 April 2022 bertempat di Bandar Kumamoto, Kumamoto, Jepun.

Sidang Kemuncak tersebut merupakan anjuran bersama antara Kerajaan Jepun dan Asia-Pacific Water Forum (APWF) serta Bandar Kumamoto.

Ia merangkumi beberapa acara tertentu, yang dimulakan dengan Upacara Pembukaan rasmi dan Mesyuarat Peringkat Kemuncak serta sesi Kenyataan Peringkat Tertinggi pada 23 April 2022.

Acara seterusnya merangkumi beberapa 'parallel thematic sessions', simposium dan pameran yang diadakan sehingga 24 April 2022 yang antara lainnya menyentuh tajuk-tajuk berkaitan dengan pengurusan sumber air khusus dalam bidang pembiayaan, urus tadbir serta perkembangan sains dan teknologi.

Mesyuarat Peringkat Kemuncak serta sesi Kenyataan Peringkat Tertinggi telah dihadiri oleh Ketua-Ketua negara-negara ahli, Kerajaan, Menteri-Menteri dan Pegawai-Pegawai Kanan Asia-Pasifik.

Mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, dan disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jepun, Tuan Yang Terutama Awang Haji Shahbudin bin Haji Musa; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; serta beberapa orang Pegawai Kanan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan telah menyampaikan ucapan semasa Sidang Kemuncak tersebut dengan perkongsian berhubung komitmen serta sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap usaha-usaha dalam menangani cabaran-cabaran sumber air menerusi perkongsian maklumat, penyelarasan dan kerjasama antara negara-negara ahli, khususnya dalam meneroka pelan tindakan masa panjang bagi menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan.

Yang Berhormat turut mengongsikan secara ringkas dasar-dasar, perundangan serta tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Negara Brunei Darussalam dalam menangani isu pengurusan sekuriti air, kekurangan air dan perubahan iklim, yang merangkumi pembangunan sumber dan bekalan air yang mana Negara Brunei Darussalam setakat ini telah dan masih mengekalkan bekalan 100 peratus air bersih kepada rakyat dan penduduknya.

Yang Berhormat juga mengongsikan Rangka Kerja Sekuriti Air Brunei Darussalam 2021-2035 yang telah diterbitkan pada Oktober 2021, di mana memfokuskan pada empat strategi utama untuk diguna pakai bagi meningkatkan keteguhan bekalan air secara meyeluruh merangkumi pengurusan bekalan air, sumber dan pengeluaran air, kecekapan sistem rangkaian air, serta kualiti dan urus tadbir air.

Yang Berhormat juga menekankan usaha Negara Brunei Darussalam dalam pembangunan dan pemeliharaan takungan simpanan air yang merangkumi inisiatif dasar dan program, urus tadbir, pengurusan permintaan, serta penguatkuasaan bagi menangani isu berkaitan pencemaran air dan pembangunan tidak terkawal yang boleh memberikan impak negatif kepada sumber air.

Penekanan juga diketengahkan pada usaha-usaha Kerajaan dalam peningkatan penggunaan teknologi, inisatif dana serta kerjasama melalui public private partnership (PPP).

Sebagai penutup ucapan, Yang Berhormat Menteri Pembangunan telah menekankan sokongan dan komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap Deklarasi Kumamoto yang telah diterima pakai oleh negara-negara ahli semasa sidang kemuncak tersebut.

4th Asia-Pacific Water Summit telah dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara ahli, Kerajaan, Menteri-Menteri serta pegawai-pegawai kerajaan peringkat tinggi serantau, Ketua-Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi antarabangsa, institusi penyelidikan, NGO, pakar-pakar dan pengamal-pengamal berkaitan.

Sidang Kemuncak kali ini bertemakan "Water for Sustainable Development – Best Practices and the Next Generation", diadakan dengan tujuan sebagai wadah bagi setiap negara ahli dan pihak berkepentingan dalam mengongsikan pendekatan dan amalan kepada Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan serta untuk mondokong apa juga ketetapan dasar dalam mempercepatkan tindakan dalam menuju ke arah masyarakat yang berdaya tahan dan inklusif dengan cara menangani isu-isu berkaitan air, khususnya semasa tempoh pemulihan pandemik COVID-19 serantau.

Sidang Kemuncak ini disasarkan untuk menyumbang kepada Midterm Review of the Decade of Action for Water yang akan diadakan pada tahun 2023 menerusi penyediaan cadangan pelan tindakan bagi mempromosikan perkembangan berkualiti di Asia-Pasifik melalui Deklarasi Kumamoto.

Attachments