Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam 'role model' hingga akhir zaman

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Perancang Bandar dan Desa

1_Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam 'role model' hingga akhir zaman.jpeg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan semasa menghadiri Majlis Sambutan Israk dan Mikraj secara fizikal di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 Mac. – Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan pada tahun ini telah diberikan tanggungjawab untuk mengelolakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj bagi peringkat kementerian. Majlis yang turut dikendalikan secara maya ini diadakan di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis ini, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Majlis dimulakan dengan bacaan Ayat Suci Al-Quran oleh Pegawai Kanan Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Awang Haji Lihan bin Haji Ibrahim.

Majlis kemudian diisikan dengan ceramah khas Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pensyarah di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman.

3_Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam 'role model' hingga akhir zaman.jpg

CERAMAH khas Israk dan Mikraj disampaikan oleh penceramah undangan, Pensyarah di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman.

Antara intipati ceramah khas yang disampaikan pada majlis tersebut adalah berkisar mengenai ciri keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam selaku 'role model' yang tetap relevan sehingga akhir zaman yang diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Kepentingan akhlak itu adalah bersifat menyeluruh yang merangkumi semua aspek di dalam mewujudkan masyarakat Islam yang harmoni bersesuaian dengan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir, di mana ia memerlukan komitmen semua agar ia benar-benar menjadi satu tabiat dan kebiasaan.

Al-Quran dan Sunnah merupakan dua sumber yang signifikan bagi menentukan apa juga tindakan seseorang itu dan seterusnya menjadi sumber akhlak Islamiah. Ceramah berkenaan juga turut menekankan kepentingan untuk menghayati dan tadabbur Al-Quran serta mempelajari sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan kehidupan para sahabat salafussoleh sebagai rujukan ke arah menjana pembentukan akhlak manusia yang baik dan terpuji.

2_Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam 'role model' hingga akhir zaman.jpg

ANTARA tetamu-tetamu yang hadir.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Divisyen dan Unit di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan.

Attachments