Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Belia berperanan wujudkan penyelesaian, atasi cabaran, perkuat ketahanan iklim ASEAN

Siaran Akhbar dan Foto: Kementerian Pembangunan

1_Belia berperanan wujudkan penyelesaian, atasi cabaran, perkuat ketahanan iklim ASEAN.png

YANG Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa hadir dan seterusnya berucap pada Majlis Pembukaan Dialog Perdana Belia ASEAN mengenai Tindakan Iklim (ASEANyouCAN) kali pertama yang diadakan secara maya.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 16 Oktober. – Idea-idea dan tindakan para belia ASEAN mempunyai kemampuan untuk membentuk masa depan, di mana terdapat banyak peluang dan potensi bagi para belia hari ini untuk bertindak terhadap iklim, sama ada melalui advokasi, sains dan teknologi juga amalan inovasi hijau.

Walaupun banyak cabaran menanti, para belia berperanan dalam mewujudkan banyak penyelesaian untuk mengatasi cabaran dan memperkuat ketahanan iklim, di seluruh ASEAN.

Ini sangat penting kerana rantau ASEAN dikenali sebagai salah satu rantau yang paling mudah terdedah terhadap kesan perubahan iklim, menurut Laporan Perubahan Iklim Negara ASEAN.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, yang juga selaku Pengerusi Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN 2021 menyatakan perkara tersebut, semasa berucap pada Majlis Pembukaan Dialog Perdana Belia ASEAN mengenai Tindakan Iklim (ASEANyouCAN) kali pertama, yang diadakan secara maya.

Selaras dengan tema 'Climate Action and Resilience', Yang Berhormat mengalu-alukan para belia sebagai ejen perubahan, sebagai sebahagian daripada penyelesaian iklim.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, seterusnya menegaskan, bahawa Negara Brunei Darussalam menyedari pentingnya menangani kesan perubahan iklim, seperti yang dinyatakan dalam Nationally Determined Contribution (NDC) Negara Brunei Darussalam untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 20 peratus, berbanding dengan tahap Business-As-Usual, pada tahun 2030 dan keutamaan tindakan iklim sebagai sebahagian daripada agenda Negara Brunei Darussalam sebagai Pengerusi ASEAN 2021.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC), Tuan Yang Terutama Ekkaphab Phantavong; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Ash'ari selaku Yang Dipertua Majlis Belia Brunei; Setiausaha-setiausaha Tetap; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; dan pengarah-pengarah jabatan yang berkaitan.

Dialog ASEANyouCAN merupakan salah satu daripada kepengerusian Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021, di bawah tonggak Komuniti Sosio-Budaya.

Para belia dari Negara-negara Anggota ASEAN (AMS) bersidang pada dialog tersebut untuk membincangkan isu-isu perubahan iklim yang mendesak, di rantau ini dan mencadangkan cara-cara untuk mengatasi cabaran tersebut.

ASEANyouCAN berfungsi sebagai platform bagi para belia Negara-negara Anggota ASEAN untuk berkongsi idea dan menyumbang kepada pembuatan keputusan atau penggubalan dasar peringkat tinggi dalam melaksanakan strategi iklim untuk ASEAN.

Ini juga memberi asas yang kuat untuk perkongsian yang mampan dalam kalangan belia ASEAN untuk lebih melibatkan diri.

Dengan tema utama, 'Climate Action and Resilience', para belia membincangkan dan meneroka cara-cara, di mana sebuah negara dapat mengurangkan kesan perubahan iklim dan yang paling penting untuk membina sebuah masyarakat atau persekitaran yang berdaya tahan ke arah perubahan.

Tema ini dibahagikan pada dua sub-tema, iaitu 'Youth in Promoting Green Innovation and Nature Based Solution'; dan 'Youth in Educating and Creating a Green Society'.

Acara tiga hari tersebut, dimulakan dengan Sesi Orientasi, diungkayahkan oleh wakil dari Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), diikuti dengan bengkel maya, pada hari kedua.

Beberapa pakar dari pelbagai organisasi dijemput untuk memberi ceramah semasa bengkel tersebut, antaranya, Pengarah Eksekutif Pusat Biodiversiti ASEAN, wakil Gabungan Iklim Pemuda UK (UKYCC); Pengasas Bersama dan Penyelaras Jaringan Tindakan Iklim Pemuda (YNet), di Viet Nam; Ketua Peralihan Tenaga Syarikat Minyak Brunei Shell Petroleum; Pengasas Bersama Our Singapore Reef; dan wakil dari Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral, Jakarta.

Para penceramah berkongsi pendapat mereka mengenai tajuk-tajuk, seperti peralihan tenaga, penyelesaian berasaskan alam semula jadi juga inovasi hijau. Mereka juga memberi inspirasi kepada para belia untuk menjadi lebih proaktif dalam mendekati masyarakat untuk melakukan inovasi perubahan dan akhirnya menjadi bagian daripada penyelesaian perubahan iklim.

Salah satu penekanan utama dialog adalah penyusunan Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Tindakan Iklim Belia, pada hari ketiga acara ASEANyouCAN.

Deklarasi tersebut akan dirangka oleh para belia dan akan dibentangkan, pada Mesyuarat Ke-16 Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN, pada 21 Oktober 2021. Deklarasi ini akan menggariskan komitmen para belia dalam melaksanakan tindakan iklim menuju cita-cita global.

Delegasi Brunei Darussalam diwakili oleh AYAN Country Director for Finance and Sponsorship, Awang Joshua Belayan; dan Pengasas merangkap Pengarah Projek Big BWN, Dayang Norhafizah Rashid.

Permohonan untuk mengambil bahagian dalam Dialog ASEANyouCAN dibukakan untuk belia, berusia di antara 15 hingga 35 tahun dan beberapa kriteria ditetapkan untuk memastikan para belia yang mewakili Negara Brunei Darussalam dapat memberikan sumbangan yang baik semasa dialog tersebut.

Dialog ASEANyouCAN dianjurkan bersama oleh Kementerian Pembangunan melalui Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam bersama Rangkaian Advokasi Belia ASEAN (AYAN) Negara Brunei Darussalam juga disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Rangkaian Advokasi Belia ASEAN adalah organisasi bukan meraih keuntungan, sosial-sivik dan badan bukan kerajaan, dipimpin oleh belia antarabangsa, yang ditubuhkan untuk membuka jalan bagi para belia ASEAN untuk terlibat, di kawasan mereka melalui serangkaian inisiatif berasaskan advokasi.

Acara ini juga disokong oleh Sekretariat ASEAN, Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan UNDP.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments