Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mesyuarat Ke-32 Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

 1_Mesyuarat Ke-32 Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN.jpg

2_Mesyuarat Ke-32 Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN.jpg

DELEGASI Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak yang juga selaku Naib Pengerusi bagi ASEON kali ke-32.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 September. – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pembangunan telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Ke-32 Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN) dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan dari 13 September hingga 17 September 2021 secara maya. Mesyuarat ASOEN kali ini dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pemeliharan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Pemeliharan Alam Sekitar, Dr. San Oo selaku Pengerusi ASOEN, Republik Kesatuan Myanmar.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal alam sekitar dan perubahan iklim daripada negara-negara anggota ASEAN, Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN, Tuan Yang Terutama Kung Phoak, perwakilan daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) dan Pusat Kepelbagaian Biologi ASEAN (ACB).

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak yang juga selaku Naib Pengerusi bagi ASEON kali ke-32 dan disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi; Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya; Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; dan Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Mesyuarat-mesyuarat bersama rakan dialog juga telah diadakan selepas mesyuarat ASOEN, iaitu Dialog ASEAN-Jepun Mengenai Kerjasama Alam Sekitar kali ke-15, Dialog ASEAN-Republik Korea Mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kali pertama, Dialog Peringkat Tinggi EU-ASEAN Mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim 2021, Dialog Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN-Amerika Syarikat Mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kali pertama, dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN+3 Mengenai Alam Sekitar kali ke-18.

Mesyuarat ASOEN pada tahun ini, antara lain, telah membincangkan kedudukan dan perkembangan kerjasama ASEAN dalam memajukan usaha-usaha bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan, sisa kimia dan sisa plastik, kepelbagaian biologi, persekitaran marin dan pantai, pengurusan sumber air, bandar yang berdaya tahan dan perubahan iklim.

Mesyuarat juga telah membincangkan kenyataan-kenyataan ASEAN bagi Persidangan Kepelbagaian Biologi Bangsa-Bangsa Bersatu kali ke-15 (COP15) dan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kali ke-26 (COP26) untuk menegaskan komitmen ASEAN yang terkini dalam menangani isu perubahan iklim.

Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN juga telah mengetengahkan kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama diantara negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog dalam menangani cabaran-cabaran alam sekitar dan perubahan iklim memandangkan rantau ASEAN merupakan antara rantau yang paling terjejas dengan impak-impak akibat perubahan iklim.

Laporan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN ini akan di bentangkan di Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN yang akan bersidang pada bulan Oktober 2021 di Indonesia.

Mesyuarat Ke-33 Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan akan diadakan di Kemboja pada tahun 2022.

Sumber: Laman Sesawang Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments