Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Ibadah korban lahirkan rasa syukur

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

4_Ibadah korban lahirkan rasa syukur.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan tetamu-tetamu yang lain semasa menghadiri Majlis Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha yang diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 22 Julai. – Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, telah mengadakan Majlis Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha, yang mana dikelolakan oleh Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Kerja Raya di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diisikan dengan ceramah khas bertajuk "Erti Sebuah Pengorbanan" yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Yang Mulia Awang Haji Sammali bin Haji Adam.

1_Ibadah korban lahirkan rasa syukur.jpg

CERAMAH khas bertajuk "Erti Sebuah Pengorbanan" disampaikan oleh penceramah undangan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Yang Mulia Awang Haji Sammali bin Haji Adam.

Majlis Ibadah Korban ini dilaksanakan bagi melahirkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas kurnia rezeki serta meningkatkan keimanan dan ketaqwaan warga Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya dalam perkara yang berkebajikan disamping memeriahkan lagi hari-hari kebesaran Islam. Ia juga diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.

Ibadah Korban merupakan ibadah sunat yang sangat dituntut oleh Allah Subahanu Wata'ala yang juga dikenali sebagai Sunat Muakkad. Dari segi istilah, korban bermaksud menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan tujuan untuk beribadah atau menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

2_Ibadah korban lahirkan rasa syukur.jpg

5_Ibadah korban lahirkan rasa syukur.jpg

ANTARA pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang hadir ke majlis berkenaan.

Pada tahun ini, sebanyak empat ekor sapi telah dikorbankan yang diagihkan kepada 86 orang penerima yang berhak.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Awang Haji Md. Salleh bin Haji Abdul Karim; Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Attachments