Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pelaksanaan peraturan baru Perancangan Bandar dan Desa berkuatkuasa 1 Ogos

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

2_Pelaksanaan peraturan baru Perancangan Bandar dan Desa berkuatkuasa 1 Ogos.jpg

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan selaku tetamu kehormat dan Autoriti Perancang semasa berucap pada majlis tersebut.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 April. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan peraturan baru iaitu Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 di bawah Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015.

Pelaksanaan peraturan berkenaan akan mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2021, dimana peraturan berkenaan memberi kuasa bagi pihak Autoriti Perancang melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa untuk mengenakan kompaun ke atas kesalahan-kesalahan yang tersenarai di bawah Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018. Jumlah kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi ketidakpatuhan peraturan tersebut adalah tidak melebihi BND500.

Antara kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan kompaun adalah meliputi kesalahan menggunakan / menghalang / meletak barang-barang jualan / membangun sebarang struktur di kawasan yang terlarang di dalam premis perniagaan dan perusahaan khususnya kawasan kaki lima, pejalan kaki, tempat letak kereta, kawasan hijau dan kawasan garisan bangunan yang mana ia boleh menjejaskan keselamatan orang awam atau harta benda di sekeliling.

Senarai kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan kompaun atau sebarang maklumat lanjut mengenainya bolehlah diperolehi dengan melayari laman sesawang www.mod.gov.bn/tcp atau melalui instagram @tcp.brunei.

Sebanyak 432 kesalahan yang melanggar Perintah Perancangan Bandar dan Desa 2015 telah berjaya direkodkan bagi Daerah Brunei dan Muara, dimana antara jenis kesalahan berkenaan adalah meliputi kegiatan seperti kegiatan perusahaan ringan tanpa kebenaran sebanyak 97 kesalahan, kegiatan perusahaan sederhana sebanyak 94 kesalahan, kegiatan perusahaan berat sebanyak 16 kesalahan, tambahan-tambahan bangunan tanpa Kebenaran bagi tujuan perniagaan sebanyak 88 kesalahan, perubahan penggunaan bangunan dari kebenaran asal tanpa kebenaran sebanyak 55 Kesalahan dan kesalahan-kesalahan lain yang boleh dikompaun di kawasan sebanyak 82 kesalahan.

Hasil dari kerja-kerja profiling yang dilaksanakan sejak tahun 2020 yang menumpukan Daerah Brunei dan Muara tersebut, didapati lokasi kesalahan-kesalahan berkenaan dijalankan tertumpu di kawasan-kawasan perniagaan dan perusahaan yang telah dikenal pasti.

Sebagai langkah pertama dalam menangani ketidakpatuhan serta penguatkuasaan peraturan berkenaan, pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa akan melaksanakan program Jerayawara Penguatkuasaan yang akan diadakan secara berfasa bermula pada bulan Jun akan datang.

Tujuan utama program jerayawara berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai jenis-jenis kesalahan yang boleh dikompaun, termasuk peraturan yang berkaitan.

Pendekatan program jerayawara yang akan dijalankan tersebut adalah lebih memfokuskan kepada "educating the public before enforcing" yang akan menumpukan program jerayawara kepada para penghulu dan ketua kampong serta peniaga dan pengusaha sebagai kumpulan sasaran utama.

Majlis Perasmian Program Jerayawara Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar Dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 – Kesalahan Kompaun telah diadakan di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan.

Hadir pada majlis ini ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku tetamu kehormat dan Autoriti Perancang.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Professional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub, Pegawai-pegawai Daerah, Pengerusi-pengerusi Lembaga Bandaran, wakil daripada agensi-agensi kerajaan berkepentingan, serta jemputan khas yang terdiri daripada Ahli Dewan-dewan Perniagaan di Negara Brunei Darussalam.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Dr. Nor Imtihan menekankan kepentingan pendekatan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh, sepadu, konsisten serta adil adalah critical success factor di dalam memantapkan tindakan penguatkuasaan dan meningkatkan kadar pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 – Kesalahan Kompaun.

Tambahnya, pendekatan ini adalah dikira sangat relevan dan signifikan, mengambilkira usaha mewujudkan persekitaran kemajuan yang lebih teratur dan selamat adalah tanggungjawab bersama di antara agensi kerajaan, swasta dan pihak orang ramai amnya dalam menjana ekosistem perkembangan ekonomi dan sosial yang lebih progresif, dinamik dan berdayatahan, seiring dengan matlamat strategik Wawasan Negara 2035 ke arah meningkatkan kualiti kehidupan yang bermutu tinggi serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Majlis turut disikan dengan tayangan video mengenai kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun dan disusuli dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Dayang Nurizzatul Izzah binti Haji Abd Rahman.

3_Pelaksanaan peraturan baru Perancangan Bandar dan Desa berkuatkuasa 1 Ogos.JPG

SESI taklimat yang disampaikan semasa Program Jerayawara Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar Dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 – Kesalahan Kompaun diadakan di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan.

4_Pelaksanaan peraturan baru Perancangan Bandar dan Desa berkuatkuasa 1 Ogos.jpg

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan semasa menyaksikan pameran.

Juga diadakan ialah sesi pameran kesalahan-kesalahan yang melanggar Peraturan Perancang Bandar 2015 bertempat di ruang legar, Tingkat 1, Kementerian Pembangunan. Sesi pameran ini dibukakan kepada para jemputan yang hadir bagi membukakan peluang dan ruang sesi dialog dan soal jawab serta penerangan lanjut oleh pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Sumber: Laman sesawang Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Attachments