Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Agenda alam sekitar dan perubahan iklim diketengahkan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Agenda alam sekitar dan perubahan iklim diketengahkan_c.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Februari. – Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan dibawahnya telah mengadakan sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari ini bertempat di Pejabat Pertapakan Projek Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien.

Hadir mempengerusikan sesi permuzakarahan tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Seramai 17 orang ahli MMN telah menghadiri permuzakarahan berkenaan, yang diketuai oleh Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman.

Sebelum sesi muzakarah diadakan, Yang Berhormat Menteri Pembangunan berserta ahli-ahli MMN memulakan dengan acara penanaman pokok di kawasan lapang berdekatan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien sebagai mendokong usaha pihak Kerajaan ke arah mencapai salah satu strategi utama Dasar Kebangsaan Perubahan Iklam Negara Brunei Darussalam yang dilancarkan pada 25 Julai 2020 lalu, iaitu dengan mencapai sasaran untuk menanam sebanyak 500,000 pohon pokok baharu menjelang tahun 2035.

2_Agenda alam sekitar dan perubahan iklim diketengahkan.JPG

3_Agenda alam sekitar dan perubahan iklim diketengahkan.JPG

AKTIVITI penanaman pokok di kawasan lapang berdekatan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien.

Di bangunan Pejabat Pertapakan Projek Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien, sesi muzakarah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat.

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan yang antara lain mengongsikan perancangan dan beberapa inisiatif Kementerian Pembangunan dalam penyediaan perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur yang lebih baik bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Pada sesi muzakarah ini juga, ahli-ahli MMN berpeluang mendengarkan taklimat ringkas mengenai perubahan iklim yang disampaikan oleh Ketua Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam. Juga disampaikan semasa taklimat berkenaan ialah aktiviti Tahun Tindakan Iklim 'Year of Climate Action' yang giat dilaksanakan oleh Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (Brunei Darussalam National Council on Climate Change (BNCCC)), antaranya Pelancaran Protokol Hijau (Green Protocol) yang telah diadakan pada Januari lalu. Antara elemen penting di bawah Protokol Hijau ialah meningkatkan penyerapan karbon negara melalui penghutanan semula dan penaman semula hutan.

Sesi Muzakarah ini dihasratkan sebagai satu platform untuk berbincang secara terbuka dan bertukar-tukar pandangan dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan program yang diungkayahkan di bawah Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan dibawahnya untuk mencapai kesejahteraan rakyat.

Turut hadir dalam sesi muzakarah tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Ketua-Ketua Jabatan dan Divisyen dan Unit serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Attachments