Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Perkembangan projek-projek JKR, Daerah Belait dipantau

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Perkembangan projek-projek JKR, Daerah Belait dipantau.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa sesi bergambar ramai sebelum mengadakan lawatan kerja ke tapak-tapak projek.

BELAIT, Isnin, 12 Oktober. – Sebagai usaha dalam meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pihak Kementerian Pembangunan telah merancang dan melaksanakan beberapa buah projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-11.

Beberapa buah tapak projek yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, di Daerah Belait telah dilawat oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, iaitu:

  1. Projek Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-Anak Sungai – Upgrading of Integrated Services Infrastructure Works at Kuala Belait – Seria Municipal Areas;
  2. Projek Menaiktaraf Sistem Pembetungan di Kawasan Perbandaran Kuala Belait dan Seria;
  3. Projek Mengganti Baru Penungkat Paip (Pipe Support) Air Mentah Utama Dari Stesen Pam Air Badas ke Loji Rawatan Air Seria;
  4. Projek Mengganti / Memindah Paip-Paip Utama Yang Lama Bagi Semua Daerah – Paip-Paip Utama Dari Loji Rawatan Air Seria ke Tangki Perindustrian Sungai Bera dan Pam Air Mentah Badas; dan
  5. Projek Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-Anak Sungai – Kampong Lumut Catchment.

Projek "Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-Anak Sungai – Upgrading of Integrated Services Infrastructure Works at Kuala Belait" adalah salah satu projek RKN Ke-11. Projek yang mengambil masa selama 24 bulan untuk dilaksanakan ini adalah masih dalam peringkat menunggu kebenaran tawaran. Antara objektif projek ini ialah untuk menaiktaraf sistem saliran di kawasan perbandaran Kuala Belait dan Seria, mengurangkan kadar kebanjiran di kawasan tersebut dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di kawasan berkenaan.

2_Perkembangan projek-projek JKR, Daerah Belait dipantau.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan ketika meninjau Projek Menaik Taraf Sistem Pembetungan di Kawasan Perbandaran Kuala Belait dan Seria.

Projek "Menaiktaraf Sistem Pembetungan di Kawasan Perbandaran Kuala Belait dan Seria" yang menelan belanja sebanyak $4.2 juta, telah mula dilaksanakan pada 3 Mac 2020 dan dijangka siap pada 2 September 2022 (30 bulan). Projek ini, yang telah berjalan sebanyak 25%, dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Belait dan Tutong, Kementerian Pembangunan, manakala, Astal Engineering Sdn. Bhd. merupakan kontraktor bagi projek ini. Objektif projek ini ialah untuk memastikan aliran air kumbahan berjalan lancar dan tidak mengalami masalah tersumbat yang boleh menjadi rungutan orang awam. Selain itu projek ini juga berperanan untuk mengurangkan kos pemeliharaan dan penyelenggaraan paip pembetung.

4_Perkembangan projek-projek JKR, Daerah Belait dipantau.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa penyampaian penerangan mengenai tapak Projek Mengganti Baru Penungkat Paip (Pipe Support) Air Mentah Utama Dari Stesen Pam Air Badas ke Loji Rawatan Air Seria.

Projek "Mengganti Baru Penungkat Paip (Pipe Support) Air Mentah Utama Dari Stesen Pam Air Badas ke Loji Rawatan Air Seria", yang menelan belanja sekitar $1.2 juta, telah mula dilaksanakan pada 20 Januari 2020 dan dijangka siap pada 19 Januari 2022 (24 bulan). Projek ini, yang juga dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Belait dan Tutong, dan Impian Reka Bina Sdn. Bhd. sebagai kontraktor bagi projek ini, berobjektif bagi memastikan bekalan air mentah tidak terjejas yang berpunca daripada kebocoran paip yang berlaku disebabkan oleh penungkat paip (pipe support) yang sudah lama.

7_Perkembangan projek-projek JKR, Daerah Belait dipantau.jpg

PROJEK penggantian baharu penungkat paip (pipe support) air mentah utama dari stesen pam air badas ke loji rawatan air seria.

Projek "Mengganti / Memindah Paip-Paip Utama Yang Lama Bagi Semua Daerah – Paip-Paip Utama Dari Loji Rawatan Air Seria ke Tangki Perindustrian Sungai Bera dan Pam Air Mentah Badas" berperanan untuk membekalkan bekalan air yang berterusan kepada orang awam tanpa adanya gangguan seperti kebocoran paip air dan tekanan air rendah. Dengan adanya projek yang bernilai $916,840.00 ini, ia akan dapat meningkatkan penghasilan kualiti proses air bersih dari Loji Rawatan Air di Seria. Projek ini telah mula dilaksanakan pada 29 Jun 2020 dan dijangka siap pada 28 Jun 2022 (24 bulan). Selain itu, paip-paip yang sedia ada akan diganti dengan paip jenis steel pipe dan MDPE. Antara kelebihannya, paip-paip yang baru itu nanti boleh tahan lama dan mempunyai kekuatan yang tinggi (tidak mudah retak dan bocor).

Manakala objektif Projek "Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-Anak Sungai – Kampong Lumut Catchment" adalah bagi menaiktaraf sistem saliran di kawasan Kampung Lumut dan mengurangkan kadar kebanjiran di kawasan berkenaan. Ia juga antara lain untuk menghalang pembiakan nyamuk dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di kawasan tersebut. Projek ini akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka mengambil masa selama 24 bulan.

Adapun objektif lawatan kerja ini adalah untuk memantau dan meneliti dengan lebih terperinci perkembangan projek-projek berkenaan dalam memastikan ianya berjalan dengan lancar serta menepati kualiti dan tarikh siap yang telah ditetapkan.

6_Perkembangan projek-projek JKR, Daerah Belait dipantau.jpg

AHLI Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput turut hadir menyertai lawatan kerja ini.

Turut hadir semasa lawatan kerja ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput selaku Ketua Kampong Labi I, Zon 2, Daerah Belait; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan; Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Awang Haji Mohd. Salleh bin Haji Karim; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan daripada Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Attachments