Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Penandatanganan kontrak dan persetujuan perlantikan konsultan

Oleh: Kementerian Pembangunan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 2 Julai. – Dalam usaha meningkatkan infrastruktur bagi keselesaan dan juga keselamatan rakyat dan penduduk di negara ini, sebanyak tiga projek dan satu konsultan projek ditandatangani pada Majlis Penandatanganan Kontrak dan Persetujuan bagi Pelantikan Konsultan bagi Projek-Projek Jabatan Kerja Raya yang diadakan di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis penandatanganan dan seterusnya menyerahkan dokumen-dokumen ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Nama projek-projek yang ditandatangani serta keterangannya adalah seperti berikut:

1. Projek Mengganti / Memindah Paip-Paip Utama Yang Lama Bagi Semua Daerah: Paip Utama Kampong Lamunin, Daerah Tutong

Kontraktor: Seri Ghanimi Contractor Sdn. Bhd.

Harga Kontrak: $2,639,350.00

Tempoh Projek: 24 bulan

Objektif Projek: Memantau dan memastikan aliran air dalam sistem rangkaian paip sentiasa di tahap yang memuaskan dan mengurangkan gangguan bekalan air disebabkan oleh paip yang bocor (lama).

2. Projek Penambahbaikan Sistem Bekalan Air (Pembinaan Tangki-Tangki Air dan Peningkatan Sistem Pam Air) – Tangki Simpanan Diplomatik, Daerah Brunei dan Muara

Kontraktor: Mountbiz Sdn. Bhd.

Harga Kontrak: $1,483,313.00

Tempoh Projek: 24 bulan

Objektif Projek: Penambahbaikan bekalan air bagi menampung pertambahan penduduk, bangunan dan industri di kawasan Sungai Akar, Pulaie dan sekitarnya.

3. Projek Menaiktaraf Jambatan Besi 'Bailey' ke Jambatan Konkrit

Kontraktor: Foundation Contractor & Engineering Sdn. Bhd.

Harga Kontrak: $6,016,888.00

Tempoh Projek: 24 bulan

Objektif Projek: Meningkatkan keselamatan dan keselesaan serta melancarkan perjalanan bagi para pengguna jalan terutama kawasan perkampungan dan daerah.

Satu konsultan projek juga telah dilantik iaitu Zin Salleh and Partner Consultants bagi projek 1111-001 Membina Stesen Pengepam Air Mentah Baru Badas dan Memasang Paip Air Mentah Baru Badas ke Kawasan Spark.

Penandatanganan persetujuan perlantikan konsultan telah ditandatangani oleh Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dan wakil konsultan. Manakala penandatanganan kontrak bagi projek-projek pembinaan tersebut telah ditandatangani antara Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Air, Pemangku Pengarah Jalan Raya, serta wakil-wakil kontraktor yang dilantik. Kesemua penandatanganan berkenaan disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan. Majlis diakhiri dengan penyerahan dokumen kontrak dan surat lantikan konsultan.

Turut hadir di majlis ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Dayang Lim Sui Kau Alice; Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan di bawah Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Attachments