Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura ke-13

Oleh: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura ke-13.jpeg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa mengetuai delegasi negara pada Mesyuarat Ke-13 Kerjasama Brunei-Singapura di bawah Pertukaran Lawatan Tahunan Brunei- Singapura Ke-13.

REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 6 September. – Mesyuarat Ketiga Belas Kerjasama Brunei-Singapura mengenai alam sekitar di bawah Pertukaran Lawatan Tahunan, merupakan aktiviti di bawah memorandum Persefahaman Dua Hala Mengenai Hal Ehwal Alam Sekitar tahun 2015, telah diadakan di Republik Singapura pada 6 September 2019.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, dan terdiri daripada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan.

2_Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura ke-13.jpeg

GAMBAR ramai Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku ketua delegasi Negara Brunei Darussalam bersama Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan.

Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, mengetuai delegasi Republik Singapura yang terdiri daripada Mr. Albert Chua, Setiausaha Tetap dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air, Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) dan PUB, Agensi Air Singapura.

Semasa Pertukaran Lawatan Tahunan Brunei-Singapore ketiga belas (13th BSAEV), para Menteri-Menteri mengesahkan hubungan dua hala yang kuat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dan menekankan komitmen mereka untuk memupuk kemajuan yang berterusan dan memperkukuhkan kerjasama terhadap perlindungan dan pengurusan alam sekitar, pendidikan alam sekitar dan pengurusan sumber air.

Para Menteri-Menteri menyambut baik kemajuan penting dalam aktiviti kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pengurusan sisa pepejal, pengurusan kualiti udara, pengurusan sumber air dan program pertukaran belia alam sekitar. Dalam hal ini, Menteri-Menteri telah mengesahkan usaha berterusan dalam pengurusan sisa di kedua-dua negara, khususnya projek Pembersihan Sungai Brunei dan kitar semula (recycling), serta Pelan Induk Sisa Sifar (Zero Waste Master Plan) dan Bil Undang-Undang mengenai Sumber Berdaya Tahan Singapura untuk menangani sisa makanan, sisa elektronik dan sisa pembungkusan. Menteri-Menteri menyambut baik pertukaran maklumat yang berguna tentang pengurusan dan pemantauan kualiti udara, dan menyokong penyertaan aktif belia dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dalam program-program belia alam sekitar kedua-dua negara. Menteri-Menteri juga mengambil maklum program pertukaran teknikal dalam bidang rawatan sisa air dan perancangan, operasi, penyelenggaraan dan penguatkuasaan rangkaian pembetungan yang telah berjaya disimpulkan.

Para Menteri menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan terus mengukuhkan kerjasama pertukaran dalam pengurusan sumber air melalui perkongsian pengalaman dalam kesedaran pemuliharaan air (water conservation) seperti analisis data dan sistem meter air, skim pelabelan kecekapan air (water efficient labelling scheme), perancangan holistik dan reka bentuk prasarana selaras dengan perkembangan teknologi baru dan pembangunan dan pengurusan projek rawatan air menggunakan kaedah 'desalination'. Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan terus bekerjasama untuk meningkatkan daya tahan air dan mengatasi cabaran masa depan dalam pengurusan sumber air, dan penggunaan meteorologi dan radar pengurusan banjir kilat (flashfloods).

Menteri-menteri bersetuju untuk menerokai bidang kerjasama baru yang termasuk, antara lain, perancangan perbandaran, perumahan dan pemodenan infrastruktur ke arah 'Eco-Smart District' untuk mempromosikan pertumbuhan sosio ekonomi dan kelestarian alam sekitar. Menteri-Menteri juga bersetuju untuk meningkatkan pertukaran dalam bidang-bidang Sisa Sifar (Zero Waste), Ekonomi Sirkular (Circular Economy) dan Perubahan Iklim.

Kedua negara mengulangi komitmen mereka untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN yang lain untuk memajukan kepentingan alam sekitar serantau untuk mencapai pembangunan mampan dan menyediakan persekitaran hidup yang sihat dan bersih bagi rakyat.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar turut membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Menteri Pembangunan Negara dan Menteri Kewangan Kedua dan Tuan Yang Terutama Khaw Boon Wan, Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Republik Singapura, di mana perjumpaan tersebut menekankan betapa pentingnya untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dan serantau untuk kepentingan bersama rakyat dan negara masing-masing. Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan delegasi turut mengambil kesempatan untuk melawat International Built Environment Week (IBEW), Loji Pembakaran ('Waste-to-Energy') Tuas Selatan dan Pusat Penyelidikan Iklim Singapura (CCRS).

Para delegasi juga turut mengambil bahagian dalam sukan persahabatan yang dianjurkan semasa BSAEV ke-13 untuk membina persahabatan antara pegawai kedua-dua negara.

Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi BSAEV ke-14 pada tahun 2020.

Attachments