Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pasukan Jabatan Ukur juara Kejohanan Bola Sepak 11 Sepasukan

Berita: Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

IMG_1802 (Bola Sepak).JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyempurnakan penyampaian piala kepada pasukan juara, Jabatan Ukur. (Foto: Kementerian Pembangunan)

BERAKAS, Isnin, 24 September. – Pasukan Jabatan Ukur muncul juara pada Kejohanan Bolasepak 11 Orang Sepasukan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bagi Tahun 2018 setelah menang bergaya menewaskan pasukan Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan keputusan 4 - 1.

Perlawanan berlangsung malam tadi di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Aksi cemerlang yang dipersembahkan oleh Haji Subhi Abdilah Haji Bakar bagi pasukan Jabatan Ukur berjaya menjaringkan dua gol sebelum Safwan Amaliddin Sabli dan Fakhri Ismail masing-masing menjaringkan sebiji gol, manakala jaringan tunggal daripada pasukan Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, JKR pula disumbangkan oleh Lim Shen Quan.

Kekalahan pasukan Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, JKR tersebut sekaligus menjadikan pasukan berkenaan menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga pula disandang oleh pasukan Jabatan Perkhidmatan Air, JKR.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan piala ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Objektif kejohanan tersebut adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, selain untuk meningkatkan lagi kecerdasan mental dan fizikal, memupuk sikap bekerjasama, berkomunikasi dan semangat berpasukan di antara para pegawai dan kakitangan.

Ia juga diharap akan dapat membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan, mencungkil bakat baharu yang dapat diketengahkan bagi kejohanan-kejohanan bola sepak di peringkat Jabatan dan Kementerian.

Juga hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha-setiausaha Tetap, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments