Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

195 warga Kementerian Pembangunan terima P.K.L

Berita dan Foto: Marlinawaty Hussin

1_Penyampaian P.K.L 2018.jpg 

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyampaikan pingat kepada para penerima.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 30 Jun. – Seramai 195 pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya menerima penganugerahan Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71 Tahun 2017.

Majlis diadakan di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, di sini.

Penyampaian pingat kepada para penerima disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku tetamu kehormat.

Acara diselajurkan dengan Majlis Ramah Mesra sempena Hari Raya Aidilfitri 1439 Hijrah/2018 Masihi bagi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan dalam ucapannya berkata, para penerima pingat kerja lama itu adalah antara pekerja terbilang; mempunyai sifat yang baik dan keperibadian yang terpuji; serta telah berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun di dalam perhidmatan awam

"Abiskita semua merupakan golongan warga perkhidmatan awam yang mempunyai komitmen yang tinggi dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan baginda," kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat berharap pengurniaan ini akan dapat menyuntik dan membakar semangat para penerima semua dan menjadi satu insentif untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan mereka.

Sementara itu, Yang Berhormat menjelaskan bahawa sambutan Majlis Ramah Mesra sempena Hari Raya Aidilfitri yang juga diadakan pada pagi itu merupakan satu wadah dan cara bagi kita memupuk sikap saling memahami dan bertolak ansur sesama kita.

Majlis Ramah Mesra tersebut merupakan acara tahunan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya dan pada tahun ini ia dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan.

Majlis turut diserikan dengan ceramah khas bertajuk Mensyukuri Umur Yang Dikurniakan disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mukrisman Safari bin Haji Mustapha selaku penceramah undangan.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub; Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan Kementerian Pembangunan, Awang Mohamad Iskandar bin Haji Idris dan Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar selaku pengerusi bersama majlis; ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments