Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Jabatan Tanah barigakan Akta Hak Milik Strata

‚ÄčOleh: Noraisah Muhammed | Foto: Noraisah Muhammed

1_strata_kb.png

ANTARA Pegawai dari Jabatan Tanah dan Juruukur yang memberi taklimat.

KUALA BELAIT, Selasa, 9 Mei. - Dalam usaha memberigakan mengenai pelaksanaan Akta Hak Milik Strata, Jabatan Tanah telah mengadakan Refreshing Roadshow bagi pihak-pihak berkepentingan iaitu agensi-agensi kerajaan berkaitan dengan pelaksanaan permohonan strata dari peringkat permohonan pecah bahagi bangunan, proses pindah milik dan penubuhan perbadanan strata.

Taklimat-taklimat yang dijerayawarakan menyentuh mengenai topik Pengenalan Akta Hal Milik Strata, Proses Pecah Bahagi Bangunan Strata, Proses Pindah Milik Hal Milik Strata dan Penubuhan Serta Peranan Perbadanan Strata.

Jerayawara tersebut telah membawa beberapa tajuk taklimat antaranya taklimat mengenai 'Pengenalan Akta' yang disampaikan oleh Pegawai Tanah, Jabatan Tanah, Dayang Bilkis Sa'ar binti Kabri.

Akta Hak Milik Strata ialah hak milik yang dikeluarkan untuk setiap unit bagi sesebuah bangunan yang mempunyai lebih daripada dua unit utama di mana kebenaran bagi memecah bahagi bangunan tersebut telah diluluskan dan bangunan yang siap dibina telah mendapat kebenaran (occupational permit) dari Pihak Berkuasa.

Sementara taklimat bertajuk 'Proses Pecah Bahagi Bangunan Strata' telah disampaikan oleh Juruukur, Jabatan Ukur Awang Mohd. Hifney bin Haji Abd. Rahman, manakala taklimat bertajuk 'Proses Penyediaan Sijil bagi Pecah Bahagi Bangunan Strata' telah disampaikan oleh Pegawai Tanah, jabatan Tanah, Awang Heromme bin Hamid.

Taklimat bertajuk 'Proses Pendaftaran dan Pindah Milik Hak Milik Strata' disampaikan oleh Pegawai Tanah, Bahagian Pendaftaran, Jabatan Tanah Dayang Hayati binti Haji Junaidi.

Jerayawara itu juga membawa taklimat bertajuk 'Peranan Perbadanan Strata' yang disampaikan oleh Pegawai Penaksir Tanah, bahagian Penaksiran, jabatan Tanah Awang Eddy Nor Ezwan bin Awang haji Mohammad.

Kebaikan dan kelebihan pengeluaran geran hak milik strata, pemilik-pemilik unit boleh melakukan urusan seperti berikut; Pindah milik atau jual beli sepertimana pindah milik atau jual beli tanah; Memberi atau mewariskan; Memberi pajakan termasuk pajakan kecil unit-unit yang dimilikinya kepada sesiapa sahaja; dan geran strata juga boleh dijadikan jaminan pinjamam kewangan (collateral) seperti yang dibenarkan dibawah Bab 23 Kanun Tanah.

Pelita Brunei telah menemu bual Pegawai Tanah Kanan, Dayang Shahrana binti Haji Ahmad, Ketua Bahagian Pendaftaran berkata tujuan dan harapan pemberigaan itu diungkayahkan adalah bertujuan bagi menggalakkan pelaburan asing melabur di dalam negara dan menambah nilai maklumat kepada orang ramai agar faham akan tujuan ia diperkenalkan.

 3_strata_kb.png

PEGAWAI Tanah Kanan, Dayang Shahrana binti Haji Ahmad, Ketua Bahagian Pendaftaran.

"Ini merupakan jerayawara siri ketiga sejak ianya diperkenalkan pada tahun 2009 dan kami akan meneruskan jerayawara ini ke Daerah Tutong pada 16 Mei akan datang," tambah beliau.

Sementara itu Pelita Brunei juga berkesempatan meminta pandangan Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd. Mersidi bin Haji Mohd. Shara memberi pendapat ringkas mengenai jerayawara yang diungkayahkan amat bermanfaat, pendekatan yang diusahakan dapat membuka perhatian orang ramai dan berharap pemberigaan akan diteruskan sehingga kefahaman mengenai dapat diadaptasi dengan sempurna.

Bagi orang ramai yang berminat hendaklah mendaftar menggunakan dua Agensi Hartanah (Penaksir) yang diiktiraf iaitu Penilai Hartanah dan Juru Ukur Tanah Berlesen.

 2_strata_kb.png

TURUT hadir Ahli Mesyuarat Negara Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, Penghulu Mukim Liang dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hanapi bin Mohd. Siput, Pemangku Penghulu Mukim Labi.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, Penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Hanapi bin Mohd. Siput, Pemangku Penghulu Mukim Labi.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments