Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Akta Hak Milik Strata dibarigakan

‚ÄčOleh: Haji Ariffin bin Mohd. Noor, Muhammad Huzmi Lawi | Foto: Haji Ariffin bin Mohd. Noor / Morshidi

 1.jpg

PARA pegawai-pegawai dari Jabatan Tanah dan Jabatan Ukur di Kementerian Pembangunan semasa Majlis Pembarigaan Hak Milik Strata di bawah Akta Kanun Tanah (STRATA) Penggal 189 yang berlangsung di Dewan Betabur, Tingkat 1, Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 April. - Pemilikan hartanah di Negara Brunei Darussalam telah melangkah ke fasa baharu dengan berkuat kuasanya Akta Kanun Tanah (Strata) Penggal 189 bermula pada 1 Julai 2009.

Sementara itu, ke arah  memberigakan maklumat mengenai hak milik strata yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1999, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Tanah telah mengadakan Jerayawara  Pembarigaan Akta Hak Milik Strata yang diadakan bertempat di Dewan Betabur, Tingkat 1, Kementerian Pembangunan, di sini.

Pada majlis berkenaan kelebihan hak milik strata dan juga prosedur-prosedur yang berkaitan telah dihuraikan menerusi lima taklimat yang dibahagikan kepada Pengenalan Akta Hak Milik Strata, Proses Pecah Bahagi Bangunan Strata, Proses Penyediaan Sijil Bagi Pecah Bahagi Bangunan Strata, Proses Pendaftaran dan Pindah Milik Hak Milik Strata dan akhir sekali Peranan Perbadanan Strata yang telah disampaikan oleh para pegawai dari Jabatan Tanah dan turut dijayakan oleh Jabatan Ukur dalam peranannya bagi memproses permohonan Pecah Bahagi Bangunan Strata.

 4.jpg

SEBAHAGIAN yang hadir terdiri daripada pemilik tanah, pemaju, agen hartanah, badan-badan profesional, juru ukur tanah berlesen, peguam, institusi kewangan semasa Majlis Pembarigaan Hak Milik Strata di bawah Akta Kanun Tanah (STRATA) Penggal 189.

Di sepanjang jerayawara berkenaan, ianya telah dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan mewakili pemilik tanah, pemaju, agen hartanah, badan-badan profesional, juru ukur tanah berlesen, peguam dan institusi kewangan bagi meningkatkan kefahaman dan membantu meningkatkan kadar permohonan pengeluaran geran hak milik strata.

Akta Kanun Tanah (Strata) Penggal 189 diperkenalkan bagi menggalakkan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam pasaran hartanah di negara ini di samping memberi jaminan hak pemilikan tanah persendirian dan hak pemilikan strata yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Brunei, penduduk tetap dan warga asing.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments