Oleh: Siaran Akhbar Kementerian Pembangunan | Foto: Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan
MUKA depan buku Piawai Brunei Darussalam 12 : 2017.
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 April. - Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan telah mengeluarkan Piawai Brunei Darussalam 12 : 2017 Building Guidelines and Requirements sebagai pindaan kepada edisi 2014.
Edisi baru ini memuatkan penyelarasan keperluan kawalan kemajuan dengan keperluan Perintah Kawalan Bangunan, 2014 serta bagi menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai melalui kawalan kemajuan pembangunan. Ia adalah sebahagian dari usaha untuk mempermudahkan lagi proses mendapatkan kebenaran perancang, dan seterusnya kebenaran kemajuan sehingga kebenaran kesiapan kemajuan, yang mana telah dikemaskinikan kepada enam langkah sahaja iaitu 1) mendapatkan Kebenaran Perancangan dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa; 2) mendapatkan Kebenaran Kemajuan dari ABCi; 3) mendapatkan Kebenaran Memulakan Kemajuan dari ABCi; 4) memohon tarikh pemeriksaan tapak dari ABCi; 5) pemeriksaan tapak dari ABCi dan 6) mendapatkan kebenaran kesiapan kemajuan dari ABCi.
LANGKAH-LANGKAH dalam proses Dealing with Construction Permit.
Buku edisi 2017 ini boleh diperolehi di Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, Tingkat 1, Bangunan Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Jalan Landasan Lama, BB3510, Kementerian Pembangunan. Manakala Kaunter Pembayaran dibuka pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 8:00 pagi hingga 11:00 pagi dan 1:30 petang hingga 3:00 petang.
Adalah juga dimaklumkan permohonan bagi kerja tanah, tambahan dan/atau ubahsuai rumah/bangunan termasuk unit kedai tidak perlu dihadapkan ke Jabatan Perancang Bandar dan Desa kecuali jika kemajuan melibatkan 'Change of Use'. Disamping itu, kesemua permohonan berkaitan dengan kemajuan termasuk cadangan untuk membangun rumah atau bangunan, tambahan dan/atau ubahsuai rumah atau bangunan, termasuk unit kedai, hanya boleh dibuat oleh Orang Berkelayakan yang dilantik oleh pemilik tanah/pemaju.
Bagi kemajuan kerja tanah seperti menimbuk, meratakan, meruntuh dan 'site clearing' serta penyediaan pelan struktur rumah atau bangunan, Jurutera Profesional yang berdaftar adalah dilantik untuk melukis pelan cadangan terlebih dahulu sebelum menghadapkan permohonan ke ABCi bagi kebenaran kemajuan.