Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan
Bandar Seri Begawan, 22 Januari 2026. - Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yasin dan Doa Khas bagi Merafakkan Kesihatan dan Kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selama 4 hari berturut-turut mulai hari Isnin, 19 Januari 2026 sehingga hari Khamis, 22 Januari 2026 bertempat di Surau Kementerian Pembangunan, Berakas.

HADIR di majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.
Acara dimulakan dengan Majlis Sembahyang Sunat Hajat berjemaah yang diimamkan secara bergilir oleh Pegawai dan Kakitangan di Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya. Ini diikuti dengan bacaan Surah Yaasin dan Doa Khas bagi merafakkan kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam.

ANTARA Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya yang hadir.
Majlis tersebut diadakan bagi memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya mengurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kesihatan yang sempurna, kesembuhan yang berpanjangan, kekuatan dan kecergasan, serta kesejahteraan yang berterusan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Ketua-Ketua Jabatan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.