Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pelancaran Eco Food Waste Initiative

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe)

1_Pelancaran Eco Food Waste Initiative.jpeg

ANTARA para jemputan yang hadir di Majlis Pelancaran Eco Food Waste Initiative. (Gambar serahan JASTRe)

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Februari. – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan mengadakan Majlis Pelancaran Eco Food Waste Initiative di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Majlis didahului dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Awang Muhammad Hafiy bin Awang Noorsam, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, selaku pengerusi majlis.

2_Pelancaran Eco Food Waste Initiative.jpeg

UCAPAN alu-aluan daripada Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, selaku pengerusi majlis. (Gambar serahan JASTRe)

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau mengongsikan jumlah penghasilan secara global sisa makanan pada tahun 2022 adalah dianggarkan sebanyak 1.05 billion tan bersamaan dengan 132 kilogram per kapita setahun dimana sebanyak 79 kilogram per kapita sumber daripadanya ialah sisa makanan yang dihasilkan dari penduduk rumah seperti yang dicatatkan di dalam daripada laporan United Nation Environment Programme (UNEP) Food Waste Index 2024.

Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali dimana menurut kajian komposisi sisa buangan pada tahun 2019, sisa makanan merupakan jenis sisa sampah yang terbesar dilupuskan di Tapak Pelupusan Sungai Paku, Daerah Tutong iaitu sebanyak 32 peratus daripada 500-600 tan jumlah sampah.

Beliau menambah, pelancaran Eco Food Waste Initiative ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan inisiatif amalan mesra alam terhadap sisa makanan dengan slogan Plan.Eat.Save. Bite-Size Info Pack iaitu pek maklumat juga turut diperkenalkan sebagai panduan bagi menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan tabiat mesra alam dalam mengurus sisa makanan.

Di samping itu, beliau juga mengongsikan beberapa program yang telah dirancang dan disusun oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi bagi tahun 2025 hingga 2026 seperti program kempen kesedaran awam melalui media massa kini, program promosi Eco Food Waste Initiative, aktiviti kitar semula, program menempatkan mesin food waste digester di pusat membeli belah atau premis-premis yang bersesuaian, program mewujudkan platform digital applikasi sebagai penggalak kepada orang ramai untuk mengamalkan budaya 3R dan menerbitkan Buku Panduan Pengurangan Sisa Makanan khusus bagi orang ramai, restoran dan penyedia makanan untuk diterapkan di setiap rangkaian penyediaan makanan.

3_Pelancaran Eco Food Waste Initiative.jpeg

UCAPAN daripada tetamu kehormat, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak. (Gambar serahan JASTRe)

Acara diteruskan dengan ucapan tetamu kehormat diikuti dengan perasmian pelancaran dan tayangan klip video Eco Food Waste Initiative dan Bite-Size Info Pack. Menurut beliau, inisiatif ini adalah langkah yang tepat dan perlu diberi perhatian sebagai usaha Kerajaan untuk meningkatkan pengurusan sisa buangan, khususnya sisa makanan, di Negara Brunei Darussalam ke arah yang lebih sistematik dan berdaya tahan. Isu sisa makanan adalah isu kompleks yang melibatkan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemprosesan, pembungkusan, pengedaran, dan penyediaan makanan. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberikan impak negatif kepada alam sekitar, sosial dan ekonomi.

Beliau juga menekankan pentingnya sokongan terhadap pendekatan Ekonomi Kitaran (Circular Economy) yang merupakan model kitaran bahan. Ini termasuk amalan pembelian makanan yang tidak berlebihan, pengeluaran makanan yang lebih sistematik, pengurusan pembuangan sisa makanan yang teratur, serta usaha mengitar semula sisa makanan menjadi bahan kompos. Bahan kompos yang dihasilkan daripada sisa makanan bukan sahaja lebih bernutrisi tetapi juga memberi sumbangan positif kepada hasil pertanian yang lebih mampan dan berkhasiat.

Acara seterusnya diikuti dengan penyampaian taklimat daripada Syarikat Biofield Solutions dan penyampaian Eco Food Waste Information Pack kepada wakil-wakil jemputan daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan.

Turut hadir semasa acara tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Pembangunan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan serta kakitangan-kakitangan kerajaan, sektor swasta dan Badan Bukan Kerajaan.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments