Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan
MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menyampaikan Anugerah Cemerlang Industri Pembinaan 2024 kepada Sewtex Enterprise (gambar kiri) dan LSL Sdn Bhd (gambar kanan).
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 Oktober. – Sewtex Enterprise telah diumumkan sebagai Penerima Anugerah Cemerlang Industri Pembinaan (ACIP) bagi Kategori A (Kelas I & II) manakala LSL Sdn Bhd menerima anugerah bagi Kategori B (Kelas III-IV). Pengumuman nama-nama pemenang dan penyampaian anugerah tersebut diadakan semasa Majlis Perasmian Ekspo Bina Brunei 2024 di Dewan Mawaddah, Setia Point, Berakas, hari ini.
Hadir menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut kepada para penerima ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Anugerah ini diperkenalkan sebagai pengiktirafan kepada syarikat kontraktor berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan yang telah berjaya menyempurnakan projek pembinaan dengan prestasi cemerlang dan berkualiti.
Ia adalah selaras dengan Pelan Perancangan Strategik Kementerian Pembangunan 2018-2023 iaitu sebagai usaha ke arah mendokong Pembangunan Perniagaan tempatan dalam Industri Pembinaan di negara ini.
YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan dan eksekutif kanan Kementerian Pembangunan bergambar ramai bersama para penerima Anugerah Cemerlang Industri Pembinaan 2024 dan penerima saguhati.
Anugerah ini diharap akan dapat memberi motivasi kepada syarikat kontraktor yang lain dalam mempertingkatkan prestasi dan mutu penyampaian perkhidmatan syarikat.
Sumber: Siaran Akhbar Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan.