Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid merasmikan Ekspo Bina Brunei 2024.
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 Oktober. – Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan hari ini mengadakan Majlis Perasmian Ekspo Bina Brunei 2024 di Dewan Mawaddah, Tingkat 7, Setia Point, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat dan melancarkan ekspo berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Setiausaha Tetap (Perancangan, guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohammad Salleh.
Ekspo Bina Brunei 2024 yang bertemakan "Build Brunei Better" adalah bertujuan untuk menyediakan platform untuk kerjasama dalam mempertingkatkan penyebaran maklumat mengenai perkhidmatan, peraturan, garis panduan terkini, dan amalan-amalan baik. Ia juga mempamerkan usaha-usaha pembangunan oleh agensi kerajaan, swasta, dan institusi pendidikan, sambil memupuk kerjasama erat di kalangan semua pihak terlibat.
Ekspo ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan peserta-peserta bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan mereka, serta diharapkan dapat menarik minat anak-anak tempatan menceburi kerjaya dalam industri pembinaan.
Kementerian Pembangunan juga berharap Bina Brunei ini menjadi platform kerjasama berterusan antara kerajaan, sektor swasta, dan institusi untuk memajukan serta merangsang pembangunan industri pembinaan.
Adalah menjadi kepentingan bersama untuk membina kapasiti dan kapabiliti bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti dengan penekanan terhadap profesionalisme, inovasi, dan tadbir urus baik. Ini bertujuan meletakkan industri pembinaan pada landasan kukuh yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga menandatangani plaque bagi pelancaran Ekspo Bina Brunei 2024 dan melawat petak-petak pameran dimana sebanyak 61 petak disediakan di Dewan Munawwarah, Tingkat 7, Setia Point.

YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan menandatangani plaque pelancaran Ekspo Bina Brunei 2024.
Ekspo berkenaan disertai oleh jabatan-jabatan kerajaan yang berkepentingan seperti Jabatan Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Jabatan Kemajuan Perumahan dan sektor swasta yang terdiri daripada syarikat-syarikat pembina dan pembekal, perkhidmatan profesional seperti arkitek, jurutera dan hiasan dalaman serta agen-agen harta tanah dan institusi perbankan.
Ekspo Bina Brunei 2024 dibukakan kepada orang ramai selama empat hari iaitu dari hari Rabu, 30 Oktober 2024 sehingga hari Sabtu, 2 November 2024, jam 10:00 pagi sehingga 8:00 malam.

YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan dan eksekutif kanan Kementerian Pembangunan melawat salah sebuah petak pameran di Ekspo Bina Brunei 2024.
Turut hadir di majlis perasmian berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yakub; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta penaja-penaja yang turut menjayakan ekspo ini.
Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan adalah sebuah Divisyen di bawah Kementerian Pembangunan yang ditubuhkan pada tahun 2010. Ia berperanan sebagai pengawal selia kemajuan kerja-kerja bangunan mengikut Akta Kawalan Bangunan Penggal 256 dan juga peraturan-peraturan Kawalan Bangunan. Autoriti ini juga mentadbir-urus industri pembinaan dari aspek pendaftaran dan persijilan, standard dan garispanduan serta mendokong sebarang usaha yang diperlukan dalam industri menerusi usahasama yang dilaksanakan di dalam atau pun luar negara.
Sumber: Siaran Akhbar Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan.