Ucapan Pemangku Pengarah Jabatan Kemajuan Perumahan, Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan sempena memperingati Hari Habitat Sedunia 2024
Tema:
“Engaging Youth to Create a Better Urban Future"
(Melibatkan Belia Untuk Mencipta Masa Depan Bandar Yang Lebih Baik)
Hari Isnin, 3 Rabiulakhir 1446H bersamaan 7 Oktober 2024M
1. Pada hari ini, Isnin, 3 Rabiulakhir 1446H bersamaan 7 Oktober 2024M, Negara Brunei Darussalam berganding bahu bersama seluruh dunia termasuk UN Habitat atau United Nations Human Settlements Programme menyambut Hari Habitat Sedunia 2024 dengan tema “Melibatkan Belia Untuk Mencipta Masa Depan Bandar Yang Lebih Baik".
2. Sambutan Hari Habitat sedunia memberikan kita peluang untuk sama-sama merenungkan kepentingan mewujudkan persekitaran dan tempat tinggal yang mampan, inklusif dan berdaya tahan untuk masa depan yang lebih baik.
3. Sebagai sebahagian dari usaha ke arah ini, Skim Perumahan Negara di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan, bersama-sama dengan agensi lain memastikan perancangan pelan induk kawasan perumahan negara tidak hanya memberi tumpuan kepada penyediaan rumah, malahan juga kepada pembangunan komuniti yang seimbang di mana kawasan-kawasan baharu dibentuk dengan kepelbagaian sosio-ekonomi, infrastruktur yang mampan dan persekitaran yang selesa.
4. Antara usaha lain yang dilaksanakan pada masa ini, Jabatan Kemajuan Perumahan sedang mengkaji semula Skim Perumahan Negara yang sedia ada untuk disesuaikan mengikut peredaran zaman.
5. Usaha dan strategi ini bukan sahaja selaras dengan Wawasan Brunei 2035 malahan juga selari dengan Sustainable Development Goals (SDG), Matlamat ke 11 yang memfokuskan kepada pembangunan bandar yang mampan dengan komuniti yang inklusif.
6. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam jelas mencerminkan harapan tinggi kepada para belia, yang mana para belia bukan sahaja akan menjadi pemimpin negara pada masa hadapan, namun memainkan juga peranan penting pada masa kini.
7. Keyakinan Baginda terhadap belia dan pembangunan negara dizahirkan melalui petikan titah perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37:
“Para belia yang biasanya kaya dengan idea-idea baru pasti berani untuk menghadapi pelbagai cabaran. Merekalah yang diharapkan untuk memberikan nafas baru kepada segala usaha pembangunan dalam negara."
8. Peranan belia dalam pembangunan negara ini tidak boleh dipandang remeh. Selaras dengan Dasar Belia Negara dan Strategi 2020–2035 dibawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam membentuk generasi belia yang dinamik, kompetitif dan progresif dengan nilai moral dan spiritual yang kukuh memerlukan usaha secara whole nation approach. Strategi ini bertujuan untuk melahirkan belia yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.
9. Urbanisasi yang semakin pesat membawa bersama pelbagai cabaran, termasuk kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan. Namun, kita juga melihat peluang untuk mencipta bandar yang lebih inklusif dan responsif kepada semua lapisan masyarakat. Peningkatan para belia dalam memainkan peranan aktif bagi memperjuangkan isu-isu seperti kelestarian alam sekitar, teknologi pintar dan pembangunan komuniti telah membuktikan keupayaan mereka untuk menjadi peneraju perubahan positif dalam masyarakat.
10. Sempena Hari Habitat Sedunia ini, saya ingin menyeru kepada para belia untuk terus menjadi pemangkin kepada transformasi bandar yang mampan. Kita memerlukan semangat, kreativiti dan inovasi mereka untuk memastikan bandar-bandar kita bukan sahaja moden dan cekap, tetapi juga inklusif, mesra alam dan mencerminkan identiti dan nilai-nilai Melayu Islam Beraja.
11. Dengan sokongan dan kerjasama dari semua pihak, saya yakin kita mampu membina bandar yang berdaya tahan, inklusif dan mampan, bukan sahaja untuk generasi hari ini, tetapi juga untuk generasi yang akan datang.
12. Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar kita semua diberkati dengan taufik dan hidayah-Nya dalam usaha kita untuk mencipta masa depan yang lebih baik dan berdaya tahan. Semoga Negara Brunei Darussalam akan terus dilimpahi rahmat, kedamaian dan kemakmuran serta diberikan kekuatan untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang.
SEKIAN
Klik pautan untuk muat turun teks ucapan.