Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Forum teknikal mengenai pengurusan tanah yang tercemar

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

3_Forum teknikal mengenai pengurusan tanah yang tercemar.jpg

FORUM teknikal bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 yang diadakan di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Jun. – Forum teknikal mengenai pengurusan tanah yang tercemar telah diadakan di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan anjuran bersama Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Dowtec (B) Sendirian Berhad, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Awang Hifzhudin bin Lamudin dan diikuti dengan kata alu-aluan daripada Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit.

1_Forum teknikal mengenai pengurusan tanah yang tercemar.jpg

PENGARAH Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit semasa menyampaikan kata alu-aluan.

Dalam kata alu-aluannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyampai kertas kerja, ahli-ahli panel dan peserta-peserta forum yang hadir. Tambah beliau, para peserta akan berpeluang untuk mempelajari dan menambah pengetahuan mengenai pengurusan tanah yang tercemar, termasuk rangka kerja pengawalseliaan, penilaian risiko serta amalan-amalan terbaik dan kaedah-kaedah yang inovatif dalam melaksanakan pemulihan tanah yang tercemar.

Tetamu kehormat kemudian menyampaikan ucaptama yang antara lain menyatakan pencemaran tanah boleh memudaratkan kesihatan manusia, mencemarkan sumber air, merosakkan bangunan-bangunan dan memerlukan satu perbelanjaan yang amat besar untuk dipulihkan.

2_Forum teknikal mengenai pengurusan tanah yang tercemar.jpg

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak menyampaikan ucaptamanya.

Tambahnya, di Negara Brunei Darussalam, dengan berkuatkuasanya Akta Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar, Penggal 240, pencemaran alam sekitar, termasuk pencemaran tanah, boleh dielakkan atau sekurang-kurangnya dikawal ke tahap yang selamat, melalui keperluan yang dikenakan ke atas industri-industri dan pemaju-pemaju, seperti perlaksanaan Penilaian Impak Alam Sekitar dan penyediaan Pelan Pengurusan dan Pemantauan Alam Sekitar.

Satu pembentangan utama turut disampaikan oleh Pengurus Besar syarikat Dowtec (B) Sendirian Berhad, Awang Bykri bin Bujang di mana beliau menekankan bahawa tanah dan air bawah tanah adalah sumber-sumber yang berharga. Tanah yang terjejas akibat aktiviti manusia melalui penggunaan tanah dahulu dan sekarang seperti pertanian, perindustrian, perlombongan dan pelupusan sisa yang menghalang faedah penggunaannya, mengakibatkan kesan kepada nilai ekonomik tanah dan potensi kesan terhadap kesihatan manusia dan kepelbagaian biologi serta kualiti air.

Oleh itu, forum ini menghimpunkan pihak-pihak berkuasa, pengamal dan industri berkaitan untuk berkongsi amalan terbaik dan trend yang berkaitan dengan pengurusan tanah tercemar.

Lima pembentangan disampaikan sepanjang forum yang diadakan selama satu hari tersebut iaitu:

·'Regulatory Framework to Prevent and Manage Land Contamination' yang disampaikan oleh Pegawai Alam Sekitar dari JASTRe, Dayang Rodziah binti Haji Adnan;

·'Contaminated Land Management Framework in Malaysia' yang disampaikan oleh Principal Dowtec (B) Sendirian Berhad, Tuan Ng Hon Seng;

·'Adopting and Adapting the JTC EBS Guidelines to Establish Baseline Soil & Groundwater Conditions – PMB Case Study' yang disampaikan oleh Eksekutif HSSE untuk Alam Sekitar dari Syarikat Hengyi Industries (B) Sendirian Berhad, Awang Haji Sofi Hasni bin Haji Sarbini;

·'BSP Environmental Approach to Land Management' yang disampaikan oleh Ketua Hal-Ehwal Alam Sekitar dari Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad, Tuan Michael Lampp;

·'Managing Risk to Human Health and Ecology as Basis for Site Remediation' yang disampaikan oleh Principal Dowtec (B) Sendirian Berhad, Tuan Ng Hon Seng.

Selesai sesi pembentangan, turut diadakan satu perbincangan panel bertajuk 'Innovations in Managing Human Health and Ecological Risk Associated with Impacted Sites' yang dikendalikan olah Pegawai Alam Sekitar Kanan dari JASTRe, Awang Mohammad Akmal Fikry bin Yusra selaku moderator. Turut serta sebagai ahli-ahli panel ialah oleh Tuan Ng Hon Seng (Dowtec (B) Sendirian Berhad), Tuan Michael Lampp (Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad), dan Awang Haji Sofi Hasni bin Haji Sarbini (Syarikat Hengyi Industries (B) Sendirian Berhad).

4_Forum teknikal mengenai pengurusan tanah yang tercemar.jpg

TETAMU kehormat bersama para penyampai taklimat, ahli panel dan moderator.

Sijil-sijil penghargaan dan cenderahati kepada para penyampai taklimat, ahli panel dan moderator disampaikan oleh Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi diikuti dengan ucapan penutup oleh Pengurus Besar syarikat Dowtec (B) Sendirian Berhad bagi menutup tirai acara tersebut.

Forum teknikal ini merupakan salah satu program yang diungkayahkan oleh pihak JASTRe bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 yang bertemakan 'Land Restoration, Desertification and Drought Resilience' dan bertujuan untuk mengetengahkan elemen mengenai pencegahan dan mitigasi, penyelesaian mampan dan pengurusan risiko tanah tercemar dari perspektif pihak berkuasa, para pengamal dan industri, dan dihadiri oleh lebih dari 100 orang peserta.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

Attachments