Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mesyuarat China-ASEAN Ministerial Roundtable on Construction

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

2_Mesyuarat China-ASEAN Ministerial Roundtable on Construction.png

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid mewakili Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat China-ASEAN Ministerial Roundtable on Construction yang diadakan di Republik Rakyat China.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 September. – Mesyuarat China-ASEAN Ministerial Roundtable on Construction dengan tema: “Mencapai Manfaat Bersama dan Hasil Saksama Melalui Pembukaan dan Kerjasama, dan Mengongsikan Peluang-Peluang Baru dalam Kerjsama ASEAN-China dalam Bidang Pembinaan" telah diadakan secara julung kalinya pada 16 September 2023 di Nanning, Republik Rakyat China.

Mesyuarat ini telah diadakan bersempena dengan Ekspo China-ASEAN Ke-20 (20th China-ASEAN Expo, CAEXPO) dan berperanan sebagai platform bagi Menteri-Menteri yang bertanggungjawab dalam bidang pembinaan daripada Negara Ahli ASEAN dan Republik Rakyat China untuk mengongsikan pengalaman dan membincangkan kerjsama dalam bidang-bidang berkenaan seperti perumahan, industri pembinaan serta pembangunan bandar dan desa.

Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Awang Haji Abdu'r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, serta Pegawai-Pegawai Kanan daripada Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Desa, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Ni Hong, ini dihasratkan sebagai wadah dalam usaha pelaksanaan Agenda Pembangunan Berdaya Tahan 2030 dan the New Urban Agenda dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, disamping pengimplementasian Belt and Road Initiative dengan mempereratkan lagi kerjasama China-ASEAN dalam bidang perumahan dan pembangunan bandar dan desa.

Ini adalah selaras dengan aspirasi China-ASEAN Comprehensive Strategic Partnership dan pengukuhan hubungan komuniti China-ASEAN dengan masa depan yang dikongsi bersama ke arah merealisasikan ASEAN Community Vision 2025 dengan mendokong proses pembangunan komuniti ASEAN dan ASEAN sebagai Pusat Perkembangan.

Dalam ucaptama Yang Berhormat Menteri Pembangunan, beliau telah menekankan peranan penting yang telah dan terus dimainkan oleh industri pembinaan dalam pembangunan ekonomi Negara Brunei Darussalam yang mana industri ini adalah antara penyumbang terbesar kepada hasil negara dengan penyumbangan BND446.5 juta daripada keluaran dalam negeri kasar pada tahun 2022.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga telah menggariskan pencapaian signifikan yang telah dikecapi oleh sektor pembinaan di negara ini khususnya pembinaan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (jambatan terpanjang di Asia Tenggara) dan pembangunan Projek Loji Penapisan Minyak Hengyi Industries Sendirian Berhad.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya mengongsikan mengenai beberapa projek pembangunan dibawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) serta penghasilan Rangka Kerja Industri Pembinaan 2022-2035 oleh Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dan garispanduan 'Different Abilities Design Guidelines' yang selaras dengan United Nations Convention on the Rights of Persons with Disabilities.

Disamping itu, Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut memaklumkan mengenai Skim Kemajuan Perumahan Negara yang telah menyediakan lebih 30,000 buah rumah dan bidang tanah bagi rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkelayakan sejak tahun 1984.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya menekankan akan betapa pentingnya untuk mengambilkira teknologi inovatif dan kemampanan alam sekitar dalam pembinaan perumahan awam disamping meneroka solusi perumahan vertikal untuk memanfaatkan penggunaan tanah secara optima sebagai usaha untuk menampung keperluan bagi perumahan awam.

Mesyuarat China-ASEAN Ministerial Roundtable on Construction diakhiri dengan meluluskan “Nanning Initiative", satu dokumen yang mencerminkan aspirasi yang dikongsi oleh Menteri-Menteri yang bertanggungjawab dalam industri pembinaan daripada Negara Ahli ASEAN dan Republik Rakyat China untuk mengembangkan kerjasama China-ASEAN dalam bidang perumahan dan pembangunan bandar dan desa.

4_Mesyuarat China-ASEAN Ministerial Roundtable on Construction.jpg

YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan mengadakan perjumpaan dua hala dengan Pengerusi Guangxi Zhuang Autonomous Region, Tuan Yang Terutama Lan Tianli.

Sebelum menghadiri Mesyuarat China-ASEAN Ministerial Roundtable on Construction, Yang Berhormat Menteri Pembangunan telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Pengerusi Guangxi Zhuang Autonomous Region, Tuan Yang Terutama Lan Tianli. Semasa perjumpaan tersebut, kedua-dua belah pihak telah berpeluang untuk membincangkan potensi untuk mengembangkan pelaburan perdagangan dan ekonomi, kerjasama perindustrian serta pertukaran rakyat-ke-rakyat (people-to-people exchanges) antara Negara Brunei Darussalam dan Guangxi Zhuang Autonomous Region. Ini khususnya dengan penaiktarafan Memorandum Persefahaman Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi yang telah ditandatangani pada bulan Februari 2023 serta Koridor Perdagangan Laut-Darat Antarabangsa yang baharu.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut mengadakan mesyuarat dua-hala dengan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Desa, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Ni Hong, dimana kedua-dua belah pihak telah membincangkan peluang-peluang baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Desa, Republik Rakyat China melalui pertukaran amalan-amalan terbaik dan peningkatan kapasiti dalam pembinaan perumahan awam di kedua-dua buah negara.

Attachments