Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Taklimat kefahaman Maqasid Syari'ah dalam pengurusan dan pentadbiran

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

2_Taklimat kefahaman Maqasid Syari‘ah dalam pengurusan dan pentadbiran.JPG3_Taklimat kefahaman Maqasid Syari‘ah dalam pengurusan dan pentadbiran.JPG

PEGAWAI dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang menghadiri Taklimat Kefahaman Maqasid Syari'ah Dalam Pengurusan dan Pentadbiran Negara Brunei Darussalam.

BERAKAS, Sabtu, 6 Ogos. – Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai prinsip Maqasid Syari'ah, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi ini telah mengadakan Taklimat Kefahaman Maqasid Syari'ah Dalam Pengurusan dan Pentadbiran Negara Brunei Darussalam. Seramai 100 orang peserta terdiri daripada para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya menghadiri taklimat tersebut. Taklimat diadakan di Dewan Indera Pahlawan, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembangunan (ABCi).

Objektif taklimat antara lain ialah untuk memberikan kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingan Maqasid Syari'ah dalam tadbir urus sesebuah organisasi mahupun dalam kehidupan seharian. Selain itu, taklimat turut menjelaskan bagaimana Maqasid Syari'ah relevan dalam menjamin kesejarahteraan dan keselamatan sosial serta kestabilan negara. Taklimat juga menerangkan beberapa contoh aplikasi Maqasid Syari'ah dalam dasar, pengurusan dan perkhidmatan di bawah Kementerian Pembangunan.

1_Taklimat kefahaman Maqasid Syari‘ah dalam pengurusan dan pentadbiran.JPG

TAKLIMAT disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Taklimat disampaikan oleh Awang Khairul Anwar bin Haji Muhammad dari Jabatan Pengajian Islam; serta Awang Haji Isham bin Awang Ismail @ Awang Bartin dan Dayang Siti Noraziah binti Haji Asli dari Pusat Da'wah Islamiah.

Taklimat ini merupakan antara siri taklimat dan bengkel yang dikendalikan oleh Unit Muraqib, Kementerian Hal Ehwal Ugama di bawah Projek Pengukuhan Maqasid Syari'ah dalam Pengurusan dan Pentadbiran Negara Brunei Darussalam. Projek ini merupakan salah satu projek strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi tahun 2020-2024, bertujuan untuk membudayakan penghayatan Maqasid Syari'ah dalam pengurusan dan pentadbiran di Negara Brunei Darussalam, serta menerapkan nilai-nilai baik dalam mendokong Maqasid Syari'ah.

Sasaran projek ialah dari kalangan agensi-agensi kerajaan dan akan dilaratkan ke agensi-agensi swasta serta Pertubuhan Bukan Kerajaan dalam usaha untuk mencapai objektif yang disasarkan melalui pendekatan 'Whole of Nation'.

Sumber: Siaran Akhbar Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Attachments