Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Penganugerahan geran tanah dan anak kunci rumah

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Penerangan

3_Penganugerahan geran tanah dan anak kunci rumah.jpg

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Penggeranan Tanah-Tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS) di bawah Skim Penggeranan Tanah LTS bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait serta Penyerahan Anak-Anak Kunci Rumah Teres di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang bagi Daerah Tutong.

TUTONG, Khamis, 7 Julai. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Penggeranan Tanah-Tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS) di bawah Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang Sementara bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait serta Penyerahan Anak-Anak Kunci Rumah Teres di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang bagi Daerah Tutong kepada sejumlah 446 penerima, hari ini.

Majlis berkenaan diadakan di Dewan Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), Kampong Bukit Beruang, Mukim Telisai.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di helipad dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Turut menjunjung keberangkatan tiba baginda ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong, Awang Haji Kaharudin bin Mohd Ali, dan diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Daerah Tutong.

Pada majlis tersebut, seramai 209 orang menerima Penggeranan Tanah-Tanah Lesen Tumpang Sementara di bawah Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang yang mana dari jumlah tersebut sebanyak 125 orang dari Daerah Tutong dan 84 orang dari Daerah Belait.

Sementara bagi penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang ialah seramai 237 orang penerima rumah jenis teres.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong.

Sejurus selesai menyempurnakan penganugerahan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan melawat ke Pusat Tingkatan Enam Tutong yang dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Dari lawatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke rumah beberapa orang peserta yang menerima rumah-rumah teres di bawah Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang iaitu rumah Dayang Haryani binti Haji Yahaya, di Lot 19323, No. 22, Simpang 33-9, Jalan Paya Namurai, dan rumah Awang Mohammad Khairi bin Haji Mahadi, di Lot 19230, No. 1, Simpang 33-19, Jalan Paya Namurai.

Rumah jenis teres ini mempunyai keluasan lantai 85.9 meter persegi, yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, bilik mandi dan dapur.

Perumahan di kawasan Rancangan Peruamahn Negara Bukit Beruang ini secara keseluruhan mempunyai 530 unit rumah jenis 'detached'; 500 unit rumah jenis kembar; 368 unit rumah jenis kluster dan 1,348 unit rumah jenis teres.

Sehingga ke hari ini lebih dari 30 ribu buah rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati telah dibina di seluruh negara di mana daripada jumlah itu sebanyak 29,005 buah telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan dan dari jumlah tersebut 2,746 orang adalah pemohon yang berjaya mengikuti Rancangan Perumahan Negara bagi Daerah Tutong.

Sejurus lawatan ke rumah peserta-peserta yang menerima rumah-rumah teres Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Golden Corporation Sdn. Bhd. di Kampong Penyatang, Mukim Telisai. Keberangkatan baginda dijunjung oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Selepas daripada lawatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan berangkat ke beberapa rumah  para peserta yang menerima Penggeranan Tanah-Tanah Lesen Tumpang Sementara di bawah Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang iaitu rumah Pengiran Mahmud bin Pengiran Bungsu, di LOT 16958, Simpang 188-57, Kampong Kandang, Mukim Pekan Tutong, dan rumah Awang Nasrul Arwadi bin Haji Nekman, di LOT 22021, No. 498, Kampong Kuala Tutong, Mukim Pekan Tutong.

Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang Sementara mula diperkenalkan pada tahun 1994 di Daerah Tutong. Setakat 2022, sejumlah 2,674 lot telah digerankan yang mana jumlah tersebut juga bersamaan dengan keluasan 646,890 ekar. Daripada jumlah tersebut, 971 lot telah diberikan di Daerah Brunei Muara, 641 lot diberikan di Daerah Belait, 881 lot diberikan di Daerah Tutong dan 181 lot diberikan di Daerah Temburong.

Dari lawatan di rumah-rumah penerima, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke rumah Ketua Kampong Penabai yang dijunjung oleh Awang Mohammad Sofiyuddin bin Mohammad Serudin, di Kampong Kuala Tutong, Mukim Pekan Tutong.

Pada akhir lawatan, baginda juga berkenan berangkat ke Pusat Kegiatan Warga Emas, Pekan Tutong, Mukim Pekan Tutong yang dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Awang Haji Nazmi bin Haji Mohammad.

Majlis diakhiri dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong bagi Majlis Santap Tengah Hari.

Penganugerahan Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang Sementara dan Penyerahan Anak-Anak Kunci Rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara jelas mencerminkan sikap keprihatinan dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada rakyat dan penduduk di negara ini, secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita baginda khususnya dalam memastikan kualiti kehidupan sentiasa terjamin dan sekali gus ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Tanah.

Attachments