Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Masjid baharu Kampung Junjongan dijangka siap Mei 2023

Berita dan Foto: Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

1_Masjid baharu Kampung Junjongan dijangka siap Mei 2023.png

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB); dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid hadir selaku tetamu kehormat bersama.

JUNJONGAN, Sabtu, 18 Jun. – Penduduk Kampong Junjongan dan sekitarnya bakal mempunyai bangunan masjid baharu di atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang tiga ekar, hasil daripada peruntukan perbelanjaan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam berjumlah BND 4.9 juta ringgit yang dijangka siap pada Mei 2023.

Sehubungan dengan itu, Majlis Mendirikan Tiang Masjid Baharu terletak di Kampong Junjongan diadakan pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat bersama pada majlis tersebut itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB); dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Aturcara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan laungan azan dan bacaan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.

Acara diteruskan dengan menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhoramt Menteri Pembangunan, diikuti oleh para jemputan khas yang hadir.

Doa Selamat pula kemudiannya dibacakan oleh Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien.

Pada penghujung majlis, tetamu-tetamu kehormat serta para jemputan yang hadir berkesempatan menyaksikan video pameran mengenai ciri-ciri pembinaan bangunan masjid yang baharu berkenaan.

Apabila siap nanti, masjid baharu Kampung Junjongan ini dijangka boleh menampung lebih kurang 1,624 orang jemaah, dan di antara kemudahan yang disediakan di masjid berkenaan termasuklah tandas khusus bagi Orang Berkeperluan Khas, bilik kuliah, perpustakaan dan bilik pengurusan jenazah serta tempat letak kereta khusus untuk Orang Berkeperluan Khas.

Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd. Tashim bin Pengiran Haji Hassan; serta Ahli-ahli MUIB, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan serta penduduk Kampong Junjongan.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments