Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Perutusan YB Menteri Pembangunan sempena Sambutan Hari Bumi 2022

INFODEPT02-97 (v.3).jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Pada 22 April setiap tahun, seluruh dunia, termasuk Negara Brunei Darussalam, meraikan sambutan Hari Bumi, iaitu satu wadah bagi masyarakat global untuk menunjukkan sokongan terhadap perlindungan alam sekitar, terutamanya dalam mendorong penyertaan setiap individu bagi memainkan peranan masing-masing ke arah penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Sambutan Hari Bumi pada tahun ini bertemakan 'Invest in Our Planet' atau 'Melabur dalam Bumi Kita' membawa pengertian bahawa sudah tiba masanya untuk setiap penghuni di muka bumi ini bersatu padu dalam memelihara dan melindungi kesihatan, keluarga dan kehidupan kita dengan melabur dalam kesejahteraan bumi kita kearah mencapai masa hadapan yang lebih hijau, makmur dan mampan.

Setiap tindakan individu memberikan kesan yang besar dalam memelihara kedayatahan bumi. Kita telahpun menyaksikan pada masa kini, kerosakan alam sekitar, pencemaran udara dan air serta impak negatif perubahan iklim hasil dari aktiviti-aktiviti yang kita lakukan, telah memberi kesan yang mendalam terhadap ekonomi global. Oleh kerana itu, sudah tiba masanya bagi setiap pihak, sama ada kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan mahupun orang ramai berganding bahu untuk mengalihkan tumpuan dan menggembleng tenaga yang lebih kepada membina masa hadapan yang sihat dan mampan untuk generasi akan datang selamat mendiami bumi kita.

Tindakan secara kolektif yang menjurus kepada pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar perlu dilaksanakan melalui pelaburan dalam bumi kita dengan menggalakkan semua individu untuk mengamalkan tabiat mesra alam. Perubahan dalam tabiat para pengguna ke arah cara hidup yang lebih hijau akan perlahan-lahan mengalihkan permintaan di pasaran untuk menyokong cara hidup baru ini. Oleh yang demikian, ia akan lebih mempercepatkan peralihan kepada ekonomi yang lebih hijau dan pada masa yang sama, berpotensi untuk mengadaptasi pelaburan yang mampan dan mesra alam. Semua tindakan ini dapat dicapai apabila seluruh penduduk di negara ini bersatu padu dan berkerjasama dalam memelihara bumi kita.

Salah satu cara mudah untuk kita membuat pelaburan yang hijau ialah dengan mengurangkan sisa buangan yang kita hasilkan dan mengelakkan daripada menggunakan barangan sekali guna.

Tahun ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi telah menjalankan kempen media sosial iaitu Kempen Eco Ramadhan bersama JASTRe buat kali kedua. Selaras dengan tema Hari Bumi tahun ini, kempen pada tahun ini melibatkan beberapa pihak yang berkepentingan dari agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pengusaha-pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) bagi memainkan peranan masing-masing melalui pendekatan seluruh negara atau 'Whole-of-Nation Approach'.

Dengan kerjasama Zero Waste Brunei, kempen tahun ini yang bertemakan 'Bawa Barang Guna Semula Saya Sendiri' memfokuskan usaha pada melabur dalam bumi kita dengan mendorong penggunaan barang yang boleh diguna semula dan beralih kepada produk yang lebih mampan dan mesra alam.

Di samping itu, pelbagai aktiviti telah disusun seperti Kempen Melaratkan Inistiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik ke gerai-gerai Ramadhan bersama agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta, cabaran media sosial 'Reusables in Ramadhan' dan 'Aim for Low Waste', kuiz-kuiz interaktif serta tips untuk memulakan tabiat mesra alam.

Diharapkan dengan adanya pendekatan ini dapat memberikan sedikit inspirasi kepada semua untuk menilai semula gaya hidup kita dan memulakan dan membudayakan tabiat-tabiat hijau terutamanya di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, serta membuat perubahan kepada yang lebih baik ke arah menjaga dan melindungi bumi Darussalam yang kita semua sayangi dan hargai ini.

Sempena Sambutan Hari Bumi tahun ini, saya mendoakan agar seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darusssalam terus komited dan bersemangat dalam memikul tanggungjawab untuk membuat pelaburan dalam mewariskan bumi Brunei Darussalam yang mampan kepada generasi yang akan datang.

Attachments