Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Komitmen kolektif perkasa tindakan iklim

Siaran Akhbar dan Foto: Kementerian Pembangunan

1_Komitmen kolektif perkasa tindakan iklim.jpeg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, selaku Pengerusi Bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, menyampaikan pernyataan Negara Brunei Darussalam bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

UNITED KINGDOM, Selasa, 9 November. – Sesi Ke-26 Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 26), diteruskan dengan Segmen Peringkat Tinggi bagi menyampaikan Pernyataan Negara, yang diadakan pada 9 hingga 10 November 2021.

Negara Brunei Darussalam menyampaikan Pernyataan Negara bagi COP 26 semasa Segmen Peringkat Tinggi COP 26, pada 9 November 2021.

Sebagai sebahagian daripada Pernyataannya, Negara Brunei Darussalam juga membentangkan dan menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim pada COP 26, selaku Pengerusi ASEAN 2021.

Penyampaian kenyataan itu adalah peluang bagi Negara Brunei Darussalam dan ASEAN untuk mengesahkan semula komitmen negara juga serantau masing-masing, mengenai tindakan iklim.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku Pengerusi Bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, menyampaikan pernyataan Negara Brunei Darussalam bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dalam kenyataan tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan berkata, Negara Brunei Darussalam melancarkan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan pada tahun lepas, yang menggariskan 10 strategi utama. yang akan membentuk masa depan. dengan karbon rendah dan berdaya tahan.

Selain itu, tambah Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam juga menyampaikan 'Nationally Determined Contributions (NDC)', pada akhir tahun lepas, dengan komitmen untuk mengurangkan 20 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau negara menjelang 2030.

Dalam mempertingkatkan lagi hasrat iklim, Negara Brunei Darussalam sedang menuju ke arah Sifar Bersih (Net Zero) menjelang 2050, yang akan didorong, terutamanya melalui peralihan tenaga dan pemeliharaan hutan.

"Kami telah melaksanakannya selama hampir satu dekad, juga kami akan terus mengekalkannya, dan kali ini, kami akan membuka peluang besar untuk pertumbuhan hijau dan pekerjaan hijau.

"Negara Brunei Darussalam hanya menyumbang kepada kira-kira 0.025 peratus daripada pelepasan rumah hijau global, tetapi kami percaya dengan tindakan kecil kami, akan membuat perbezaan positif yang besar. Kemajuan, bagaimanapun, memerlukan tindakan daripada ramai orang lain," ujar Yang Berhormat.

Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, tambah Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam berbesar hati untuk membentangkan Kenyataan Bersama ASEAN pada COP 26.

ASEAN telah mengesahkan komitmen kolektif rantau ini mengenai tindakan iklim, baik pada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Perjanjian Paris.

Menurut Yang Berhormat lagi, ASEAN menyeru pihak negara maju untuk mengukuhkan sokongan dan kerjasama untuk mempercepatkan tindakan iklim, di rantau ini.

Di bawah tema, 'We Care, We Prepare, We Prosper', ASEAN tahun ini menyaksikan, antara lain Komunikasi NDC yang dipertingkatkan; Menyokong secara prinsip penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam; Penubuhan program platform Tindakan Iklim Belia ASEAN; dan Pembangunan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan.

"Ini, termasuk pelancaran Inisiatif Hijau ASEAN, tenaga serantau boleh diperbaharui, dan sasaran kecekapan juga pemuliharaan tenaga dalam mempercepatkan tindakan iklim," tambah Yang Berhormat.

Pada minggu lalu, di COP 26, Negara Brunei Darussalam mengesahkan 'Glasgow Leaders' Declaration on Forests and Land Use'; dan 'The Global Coal to Clean Power Transition Statement', membuat komitmen baharu untuk mempertingkatkan lagi cita-cita iklim untuk memelihara hutan, juga untuk mempercepatkan tenaga boleh diperbaharui.

Sempena acara ini, Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Brunei Darussalam melancarkan Video Tindakan Iklim bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perubahan iklim juga perjalanan rendah karbon Brunei Darussalam, dan video penuh boleh ditonton di laman sesawang, www.climatechange.gov.bn.

COP merupakan persidangan rasmi tahunan, yang membawa semua pihak bersama-sama untuk menangani krisis iklim, dan mempercepatkan tindakan untuk mengekalkan peningkatan suhu global di bawah 1.5 darjah Celsius.

United Kingdom sebagai Presiden dan Hos COP 26 telah menekankan untuk meningkatkan cita-cita iklim kepada sifar bersih, hanya peralihan karbon rendah, penyelesaian berasaskan alam semula jadi, menggerakkan dan memberikan akses pada kewangan iklim, penglibatan belia juga kerjasama di antara kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil.

Rundingan COP 26 diteruskan hingga 12 November 2021, untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak mengenai Paris Rulebook untuk beroperasi sepenuhnya dan melaksanakan Perjanjian Paris.

COP 27 dijangka diadakan hujung tahun depan, dihoskan oleh salah sebuah negara anggota Kumpulan Afrika.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments