Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Forum sosialisasi meningkatkan produktiviti infrastruktur ASEAN

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Forum sosialisasi meningkatkan produktiviti infrastruktur ASEAN.JPG

SETIAUSAHA Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria semasa mempengerusikan Forum Pertama bagi Sosialisasi Mengenai Kerangka Kerja untuk Meningkatkan Produktiviti Infrastruktur ASEAN.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Mei. – Negara Brunei Darussalam pada tahun ini dilantik sebagai Pengerusi bagi Badan Perlaksanaan Pelan Induk Kesalinghubungan bagi bidang sektoral Infrastruktur Mampan (Lead Implementing Body for Sustainable Infrastructure (LIB-SI)).

Dengan kerjasama ahli Sekretariat ASEAN, Forum Pertama bagi Sosialisasi Mengenai Kerangka Kerja untuk Meningkatkan Produktiviti Infrastruktur ASEAN telah diadakan pada hari Isnin, 24 Mei 2021 dengan melibatkan semua negara-negara ahli ASEAN secara maya dan juga kehadiran peserta tempatan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Forum ini adalah sebahagian daripada program pelaksanaan untuk Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 (Master Plan on ASEAN Connectivity 2025 – MPAC 2025) yang dihadiri oleh lebih daripada 160 peserta dari semua negara-negara ahli ASEAN, Badan Sektoral ASEAN, rakan dialog ASEAN, rakan luar yang lain serta Asian Development Bank, Asian Infrastructure Investment Bank dan World Bank termasuk pegawai kanan dari pelbagai agensi berkepentingan di Negara Brunei Darussalam.

Dalam ucapan alu-aluannya, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan, Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria yang juga selaku Pengerusi LIB-SI menekankan perlunya pembangunan infrastruktur di rantau ASEAN dengan mengambil kira situasi sektoral COVID-19 yang menyebabkan sumber menjadi begitu terhad. Maka usaha alternatif adalah dengan meningkatkan produktiviti infrastruktur di rantau ini termasuklah infrastruktur yang sedia ada.

Beliau juga menambah bahawa pihak berkepentingan dari negara-negara ahli ASEAN perlu lebih fokus dalam pemilihan projek ke arah yang lebih baik bagi memastikan terdapatnya peningkatan dalam penyampaian, akauntabiliti yang lebih padu, tadbir urus infrastruktur yang lebih kukuh, kerangka pembiayaan yang lebih terurus dan yang lebih paling penting adalah memaksimumkan jangka hayat dan kapasiti aset-aset yang sedia ada.

2_Forum sosialisasi meningkatkan produktiviti infrastruktur ASEAN.JPG

ANTARA yang hadir pada forum berkenaan yang diadakan secara maya di Pusat Persidangan Antarabangsa.

Antara objektif forum ini adalah untuk memberi pendedahan kepada badan-badan sektoral ASEAN dan rakan luar yang lain mengenai kerangka kerja berkenaan dalam meneroka tatacara perlaksanaan melalui latihan praktikal menggunakan peralatan yang khusus dalam meningkatkan lagi perlaksanaan tindakan yang diambil oleh negara-negara ahli ASEAN, disamping mengenalpasti aktiviti kerja yang lebih utama.

Forum ini juga memberikan kesempatan bagi pihak berkepentingan untuk terlibat dengan Badan Sektoral ASEAN, rakan dialog, rakan luar yang lain, dan multilateral development banks untuk berkongsi pengalaman dan juga pandangan mengenai keutamaan, tantangan serta strategi dalam memajukan produktiviti infrastruktur, terutamanya dalam menyokong pemulihan COVID-19.

Forum selama dua hari ini diungkayahkan bersama pemudahcara yang dilantik, Ernst dan Young dengan sokongan dari Program Kerjasama Pembangunan ASEAN-Australia Fasa ke II (ASEAN-Australia Development Cooperation Program Phase II - AADCP II).

Attachments