Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Ke arah kemajuan lestari bidang perlombongan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Ke arah kemajuan lestari bidang perlombongan.JPG

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak semasa sesi webinar anjuran Negara Brunei Darussalam di bawah program ASEAN Mineral Cooperation Action Plan bagi ASEAN Senior Official Meeting on Mineral (ASOMM).

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Mei. – Sesi webinar bertajuk 'Efficient Green Mining Technology and Practices for Sustainable Mineral Resource Development in ASEAN' diadakan secara fizikal dan maya selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Mei 2021 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Sesi webinar ini dianjurkan oleh Negara Brunei Darussalam di bawah program ASEAN Mineral Cooperation Action Plan bagi ASEAN Senior Official Meeting on Mineral (ASOMM) dan dibiayai oleh ASEAN Plus Three Cooperation Fund (APTCF).

Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, hadir selaku tetamu kehormat majlis dan merasmikan pembukaan sesi webinar berkenaan.

Dalam ucapannya, Dr. Dayang Nor Imtihan menekankan akan kepentingan dan peranan yang dimainkan oleh pelbagai agensi tidak kira pihak kerajaan, semi kerajaan mahupun sektor swasta dalam mendokong usaha sama ke arah kemajuan lestari khususnya dalam bidang perlombongan melalui kesefahaman dan kerjasama bersepadu.

Tambahnya lagi, sesi webinar ini merupakan salah satu usaha yang sangat penting dalam menyampaikan apa jua inisiatif dan perancangan agensi-agensi berkaitan dalam bidang perlombongan serantau dan antarabangsa termasuk amalan terbaik serta perkongsian ilmu pengetahuan bagi kebaikan bersama dan masa depan.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa, dalam usaha ke arah menangani COVID-19 telah memberikan platform bagi rantau ASEAN dan antarabangsa untuk mempelajari dan mengadaptasi serta memperkasakan kaedah-kaedah lain dalam mencapai kelestarian di pelbagai bidang melalui kesefahaman dan kerjasama, terutamanya bagi sektor swasta sebagai salah satu pemacu utama dalam mencapai tujuan bersama.

Sesi webinar ini mengumpulkan pakar-pakar dari dalam dan luar negara yang menyampaikan tajuk-tajuk bekaitan tema dengan penekanan kepada aktiviti-aktiviti perlombongan lestari dan hijau dari perspektif pengalaman dan amalan terbaik negara-negara yang sudah kehadapan dalam bidang yang sama.

3_Ke arah kemajuan lestari bidang perlombongan.JPG

SESI bergambar ramai.

Webinar ini turut disertai oleh wakil-wakil yang dijemput dari negara-negara ahli ASEAN, ASEAN +3 (Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea), Sekretariat ASEAN, organisasi-organisasi antarabangsa (CAMCF, JOGMEC dan CCOP), peserta-peserta mewakili Kementerian dan Jabatan, akademik dan juga syarikat-syarikat perlombongan.

Attachments