Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Jerayawara BMD bersama Persatuan Bank-Bank Brunei

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

2_Jerayawara BMD bersama Persatuan Bank-Bank Brunei.JPG

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak ketika menghadiri Sesi Jerayawara Kementerian Pembangunan Bersama Persatuan Bank-Bank Brunei yang berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Mac. – Kementerian Pembangunan menyedari akan keperluan bagi melindungi orang awam terutamanya bagi perkara yang berkaitan dengan industri pembinaan (construction industry) dan industri harta tanah (real estate industry) dan juga usaha untuk meningkatkan kesedaran pihak yang berkepentingan (stakeholder) dalam memahami perundangan-perundangan seperti yang diperuntukkan dalam Perintah Penilai dan Ejen Harta Tanah; Perintah Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan; dan Perintah Pemaju Perumahan, yang membawa kepada tertubuhnya ketiga-tiga lembaga dalam usaha mengawal selia profesion yang berkaitan.

Oleh itu, Kementerian Pembangunan melalui Divisyen Pengurusan Lembaga (BMD) meneruskan siri jerayawara kepada Persatuan Bank-Bank Brunei (BAB). Jerayawara ini bertujuan untuk menyediakan pelantar atau platform berkomunikasi secara berkesan ke arah perlaksanaan undang-undang yang berkuatkuasa pada masa ini memandangkan kedua-dua industri pembinaan dan industri harta tanah adalah berkait rapat dengan industri perbankan bagi menjana proses pembangunan dan pelbagai urusan hal ehwal kemajuan harta tanah di negara ini.

3_Jerayawara BMD bersama Persatuan Bank-Bank Brunei.JPG

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa industri perbankan adalah tunjang utama iaitu pemudahcara kepada orang awam atau mana-mana pihak yang berkepentingan mendapatkan sumber pinjaman kewangan secara teratur dalam menjana proses pembangunan dan pelbagai urusan hal ehwal kemajuan harta tanah. Tambah beliau, melalui jerayawara seperti ini, ketiga-tiga industri iaitu pembinaan, harta tanah dan perbankan adalah dihasrtakan akan melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan lebih efisien selaras dengan perundangan yang sedia ada demi melindungi orang ramai melalui perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh pihak profesional dan juga syarikat berdaftar yang berintegriti tinggi, berkemahiran dan juga beretika terutamanya dalam industri harta tanah.

Sesi diteruskan dengan taklimat dari wakil-wakil lembaga berkanun. Juga diselitkan sesi taklimat mengenai caveat yang disampaikan oleh Pegawai Tanah Kanan, Jabatan Tanah. Ahli perwakilan dari Persatuan Bank-Bank Brunei juga berkesempatan untuk mengemukakan isu-isu yang berkaitan dengan perintah-perintah yang dilaksanakan oleh setiap lembaga dalam sesi soal jawab.

6_Jerayawara BMD bersama Persatuan Bank-Bank Brunei.JPG

SESI soal jawab.

Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) telah melantik 131 penyedia perkhidmatan profesional bagi projek pembangunan sejak tahun 2014. Mereka yang dilantik akan menyediakan perkhidmatan profesional bagi bidang pembinaan dan termasuklah juga industri lain untuk memastikan keselamatan orang ramai.

Manakala sejak Disember 2019, Lembaga Penilai dan Ejen Harta Tanah (BoVEA) telah mula mengawal profesion perkhidmatan penilaian dan ejen harta tanah yang memberikan perkhidmatan penilaian, pengurusan serta pemasaran harta tanah. Setakat ini terdapat lapan penilai kerajaan berdaftar, lima penilai berdaftar di sektor swasta dan tiga ejen harta tanah berdaftar.

4_Jerayawara BMD bersama Persatuan Bank-Bank Brunei.JPG

ANTARA yang hadir semasa jerayawara tersebut.

Pada masa ini, Lembaga Pemaju Perumahan (BHD) secara pentadbiran telah mendaftarkan 25 pemaju perumahan sementara menunggu Perintah Pemaju Perumahan berkuatkuasa. Undang-undang tersebut menetapkan bahawa pemaju perumahan yang terlibat dalam projek perumahan dengan lima unit atau lebih akan diminta untuk dilesenkan oleh lembaga sebelum mengeluarkan pengiklanan, membangun dan juga menjual rumah.

Selain itu, Lembaga Berkanun ini juga membuka jalan untuk pekerjaan tempatan dalam industri harta tanah sepertimana yang dikehendaki oleh Manpower Planning and Employment Council (MPEC).

1_Jerayawara BMD bersama Persatuan Bank-Bank Brunei_.JPG

SESI bergambar ramai bersama ahli-ahli Persatuan Bank-Bank Brunei dan juga ahli-ahli dari Lembaga Berkanun.

Turut hadir pada jerayawara ini ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abd Rahman; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Pengarah Eksekutif (Ekonomi) Autoriti Monetari Brunei Darussalam, Dr. Irene Yap Tsue Ing; Timbalan Pengerusi Persatuan Bank-Bank Brunei, Awang Sulaiman bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa, berserta ahli-ahli persatuan dan juga ahli-ahli dari Lembaga Berkanun.

Attachments