Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Usaha berterusan lindungi alam sekitar

Oleh: Pelita Brunei | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Usaha berterusan lindungi alam sekitar.jpg

DELEGASI Negara Brunei Darussalam pada 14th Brunei-Singapore Annual Exchange of Visits yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan yang diadakan secara maya.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 Disember. – Pertukaran Lawatan Tahunan Ke-14 Brunei-Singapura (BSAEV Ke-14) mengenai Alam Sekitar yang merupakan aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) 2015 mengenai kerjasama dua hala dalam hal ehwal alam sekitar diadakan secara maya pada 14 Disember 2020.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan terdiri daripada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan.

Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Puan Yang Terutama Grace Fu mengetuai delegasi Singapura yang terdiri daripada Setiausaha Tetap, Albert Chua dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura, Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) dan PUB, Agensi Air Singapura.

Semasa Mesyuarat BSAEV Ke-14, para Menteri mengesahkan hubungan kerjasama dua hala yang kuat antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura serta mengulangi komitmen untuk memupuk kemajuan yang berterusan dan memperkukuhkan kerjasama terhadap perlindungan alam sekitar.

Menteri-menteri mengambil maklum kemajuan yang berterusan bagi program dan projek yang dilaksanakan antara kedua-dua buah negara dalam bidang pengurusan sisa pepejal, pengurusan kualiti udara, pengurusan sumber air, program pertukaran belia alam sekitar dan juga perubahan iklim.

Dalam hal ini, Menteri-menteri mengesahkan usaha berterusan dalam pengurusan sisa di kedua-dua negara, khususnya projek yang dilaksanakan Negara Brunei Darussalam dalam pengurusan sisa plastik, pengubalan peraturan pengurusan sisa dan kajian kebolehlaksanaan projek Waste-to-Energy.

Dalam bidang pengurusan kualiti udara, Negara Brunei Darussalam dan Singapura bertukar maklumat mengenai strategi pemantauan dan penguatkuasaan untuk meningkatkan kualiti udara bagi pelepasan dari perindustrian dan kenderaan.

Para Menteri mengambil maklum Program Pertukaran Belia dan mengucapkan tahniah bagi kejayaan melaksanakan projek 1st ASEAN Youth Eco-Champions Award yang telah diadakan pada Oktober 2019 sebagai salah satu aktiviti Hari Alam Sekitar ASEAN yang dihoskan oleh Kemboja.

Kedua-dua Menteri bersetuju bagi Negara Brunei Darussalam dan Singapura untuk meningkatkan kerjasama dalam pengurusan sumber air seperti Sistem Ramalan Turunan Hujan, Sistem Tadahan Pintar dan Sistem Pembetungan Pintar serta berkongsi pengetahuan mengenai perkhidmatan air dan air sisa termasuk amalan serta aktiviti terbaik.

Ini juga termasuk sistem pintar meter pra-bayar dan urus tadbir skim pelabelan kecekapan air untuk meningkatkan lagi kesedaran pemuliharaan air, dasar dan kawalan penggunaan minyak masak terpakai di premis perniagaan dan penyelenggaraan pam bagi pengurusan air sisa berdaya tahan.

Para Menteri bersetuju untuk meningkatkan kerjasama mengenai perubahan iklim, terutamanya dengan berkongsi amalan terbaik mengenai langkah-langkah mitigasi dan penyesuaian serta mengenal pasti bidang untuk kerjasama bersama.

Kedua-dua buah negara mengulangi komitmen mereka untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN yang lain bagi memajukan kepentingan alam sekitar serantau untuk mencapai pembangunan mampan dan menyediakan persekitaran yang sihat serta bersih bagi rakyat walaupun dalam situasi wabak COVID-19.

Singapura juga mengambil maklum tema Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2021 iaitu 'We Care, We Prepare, We Prosper' dan berjanji untuk menyokong serta menyumbang kepada visi Negara Brunei Darussalam untuk rantau ini. Singapura akan menjadi tuan rumah bagi BSAEV Ke-15 pada tahun 2021.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments