Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Acara penanaman pokok sempena Hari Ozon Sedunia 2020

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Acara penanaman pokok sempena Hari Ozon Sedunia 2020.jpg

SESI bergambar ramai.

BERAKAS, Sabtu, 19 September. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi tidak terkecuali daripada menyertai masyarakat global dalam memperingati Hari Ozon Sedunia 2020 yang lazimnya disambut setiap 16 September. Bertemakan 'Ozone for Life: 35 Years of Ozone Layer Protection', satu acara penanaman pokok telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan.

Hadir semasa acara tersebut ialah Pengerusi Bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein, serta Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Acara dimulakan dengan penanaman pokok buah oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Yang Berhormat Menteri Tenaga di kawasan yang dikhaskan, diikuti dengan penanaman pokok-pokok lain termasuk pokok hiasan/ornamental dan pokok hutan oleh jemputan yang lain. Para Menteri-Menteri seterusnya bergerak meninjau ke zon-zon penanaman pokok di zon-zon yang lain di mana sejumlah 421 pokok baru ditanam di taman berkenaan yang membawa jumlah kepada 911 pohon pokok yang ada di taman tersebut.

2_Acara penanaman pokok sempena Hari Ozon Sedunia 2020.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa menanam pokok di taman berkenaan.

3_Acara penanaman pokok sempena Hari Ozon Sedunia 2020.jpg

MENTERI Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein semasa menanam pokok di taman berkenaan.

Pokok-pokok yang ditanam termasuk:

  1. Jagus – Anacardium occidentale
  2. Jambu Mawar – Syzygium jambos
  3. Jambu Putat – Syzygium malaccense
  4. Luli – Garcinia hombroniana
  5. Durian Salat – Annona muricata
  6. Nona – Annona squamosa
  7. Asam Aur-aur – Garcinia forbesii
  8. Sabal telor – Dacroydes macrocarpa, Dacroydes expansa
  9. Sabal besar – Dacroydes macrocarpa, Dacroydes expansa
  10. Durian – Durio graveolens
  11. Tarap – Artocarpus odoratissimus
  12. Ru Runang – Gymnostoma nobile
  13. Yellow Tabebuia – Tabebuia aurea
  14. Pink Tabebuia – Tabebuia impetiginosa
  15. Rain tree – Samanea saman

Acara ini adalah bersesuaian dengan tema Hari Ozon Sedunia tahun ini di mana penanaman pokok boleh mengurangkan pendedahan bumi daripada sinaran UV-B, yang mana sinaran tersebut merupakan kesan merbahaya kepada penghakisan lapisan ozon. Di samping itu, acara ini juga adalah sebagai salah satu usaha Kerajaan ke arah mencapai salah satu strategi utama Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam yang telah dilancarkan pada 25 Julai 2020 iaitu mencapai sasaran untuk menanam 500,000 pokok baru menjelang tahun 2035.

4_Acara penanaman pokok sempena Hari Ozon Sedunia 2020.jpg

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak semasa menanam pokok di taman berkenaan.

5_Acara penanaman pokok sempena Hari Ozon Sedunia 2020.jpg

TIMBALAN Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub semasa menanam pokok di taman berkenaan.

Turut hadir semasa acara tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari; Pesuruhjaya Tinggi Australia, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai; Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Puan Yang Terutama Jeanette Stovel; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Tenaga; Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries Sdn. Bhd, Chen Lian Chai; serta peserta-peserta Larian Maya ('Virtual Run') Hari Alam Sekitar Sedunia 2020.

6_Acara penanaman pokok sempena Hari Ozon Sedunia 2020.jpg

MENTERI PEMBANGUNAN, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa sesi bergambar ramai bersama pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Kementerian Pembangunan.

Buat masa ini, taman yang berkeluasan 29 hektar tersebut diselenggarakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dengan kerjasama Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan serta jabatan-jabatan yang relevan, dan dirancang akan dibukakan kepada orang ramai dalam masa terdekat setelah kerja-kerja pembersihan siap dilaksanakan.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments