Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dilancarkan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

3_Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dilancarkan.JPG

PENGERUSI bersama semasa bergambar ramai bersama Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dengan Buku Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Julai. – Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam telah melancarkan satu dasar perubahan iklim pertama seumpamanya di negara ini iaitu Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam. Dasar tersebut disediakan untuk membentuk hala tuju Negara Brunei Darussalam ke arah menjadi sebuah negara lestari yang rendah karbon serta berdaya tahan iklim. Majlis pelancaran ini diadakan di Dewan Banquet, Jabatan Perdana Menteri.

Hadir di majlis pelancaran ini ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, selaku Pengerusi Bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; dan Pemangku Menteri Tenaga, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, selaku ahli-ahli kepada Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

2_Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dilancarkan.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa memberikan ucapan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Tenaga), Kementerian Tenaga, Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan juga Pengasas Bersama Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Awang Ash'ari; dan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim yang terdiri daripada Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Urusan, dan Presiden dari pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

1_Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dilancarkan.JPG

SESI bergambar ramai Pengerusi Bersama dan Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam semasa pelancaran dasar perubahan iklim pertama yang dikenali sebagai Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam ini berpandukan kepada lima prinsip utama Maqasid Shari'ah dalam mendokong usaha negara untuk membangunkan sebuah Negara Zikir yang berjaya. Disamping itu, strategi-strategi utama di dalam dasar ini juga dibentuk seiring dengan Wawasan Brunei 2035 dan dalam masa yang sama mempromosikan keselamatan, kedayatahanan dan kemakmuran ekonomi melalui pendekatan rendah karbon bagi melindungi alam sekitar.

Dasar ini memberi tumpuan kepada 10 strategi utama yang mengandungi objektif-objektif yang akan dilaksanakan dalam jangka masa 15 tahun akan datang iaitu Pelepasan Industri; Liputan Hutan; Kenderaan Elektrik; Tenaga Lestari; Pengurusan Tenaga; Harga Karbon; Pengurusan Sisa; Kedayatahanan dan Adaptasi Perubahan Iklim; Inventori Karbon; dan Kesedaran dan Pendidikan. Selain dari itu, setiap strategi juga mempunyai Objektif Strategik, Alat-Alat Dasar, Garis Masa serta Petunjuk Prestasi Utama masing-masing dalam memandu tindakan yang perlu dilakukan untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan strategi-strategi utama di dalam dasar tersebut akan meningkatkan potensi negara dalam mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kepada lima puluh peratus pada tahun 2035 dibandingkan dengan tahap "Business-as-Usual". Dasar tersebut juga turut menggariskan langkah-langkah mitigasi dan adaptasi bagi memastikan isu-isu perubahan iklim dapat ditangani secara aktif dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Penyediaan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam ini melibatkan 39 buah agensi berkepentingan yang terdiri daripada Jabatan-Jabatan Kerajaan, pihak swasta, pusat penyelidikan, institusi-institusi tinggi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta 51 orang wakil belia memandangkan isu perubahan iklim adalah "cross sectoral" dan memerlukan tindakan secara menyeluruh dan bersepadu. Penglibatan pelbagai pihak berkepentingan ini turut mencerminkan usaha Kerajaan dalam memastikan apa jua dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan adalah komprehensif dengan mengambil kira pandangan dari semua lapisan masyarakat. Salinan elektronik Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam boleh diakses melalui www.climatechange.gov.bn.

Sebagai langkah berikutnya, satu dokumen operasi bagi perlaksanaan setiap strategi utama di dalam dasar tersebut akan turut dihasilkan. Ini termasuklah mengenalpasti mana-mana Peraturan atau Akta yang perlu untuk diwujudkan dan dikuatkuasakan bagi mengawalselia perlaksanaan dasar.

Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam telah ditubuhkan pada tahun 2018 untuk memperkukuhkan lagi arah urus tadbir perubahan iklim serta memastikan pendekatan secara menyeluruh dalam menangani cabaran dan kesan perubahan iklim di peringkat negara. Ia dipengerusikan bersama oleh Menteri Pembangunan dan juga Menteri Tenaga. Manakala, ahli-ahlinya pula terdiri daripada Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan juga Timbalan Menteri Tenaga. Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam telah ditubuhkan pada tahun yang sama untuk menyelaras urus tadbir perubahan iklim dan diberikan mandat bagi membangun, melaksanakan, memantau strategi serta tindakan perubahan iklim di Negara Brunei Darussalam.

Sumber: Siaran Akhbar Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Attachments