Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Kenyataan YB Menteri Pembangunan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2020

YB Menteri Pembangunan.jpg 

Pada 5 Jun 2020, Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali menyertai lebih dari 100 negara seluruh dunia bagi sama-sama memperingati sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, satu platform global yang bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran alam sekitar serta mendorong sokongan dan penyertaan setiap lapisan masyarakat dalam sama-sama memainkan peranan memelihara alam sekitar. Tahun 2020 menandakan 'Super Year' bagi 'biodiversity' atau kepelbagaian biologi di mana tema 'Time for Nature' telah dipilih yang memfokuskan kepada kepentingan 'biodiversity' atau kepelbagaian biologi dalam penyediaan keperluan infrastruktur bagi menyokong kehidupan dan pembangunan di muka bumi dan keperluan untuk kita menjaganya.

Kehidupan manusia amat bergantung kepada perkhidmatan semulajadi 'biodiversity' yang terdiri daripada pelbagai jenis dengan ekosistem yang unik. 'Biodiversity' merupakan landasan yang menyediakan perkhidmatan sokongan, pengawalan, penyediaan dan budaya yang kita perlukan bagi kelangsungan hidup ('survival') dan mata pencarian ('livelihood'). Hubungan dan komplexiti 'biodiversity' telah membantu dalam pembersihan udara dan air kita, penstabilan iklim dan juga kawalan penyakit. Di samping itu, pelbagai makanan, ubat-ubatan dan nilai warisan kita juga berasal dari alam semula jadi.

Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam masih lagi dikurniakan dengan kekayaan habitat alam semulajadi yang masih utuh yang membolehkan pelbagai hidupan liar berkembang biak baik di daratan mahupun di persekitaran air. Kita juga berbangga kerana masih memiliki banyak spesis yang endemik di negara ini dan di kepulauan Borneo yang telah menyumbang kepada penemuan spesis baru untuk kajian sains. Ke arah pembangunan negara yang mampan, kita menyedari keperluan untuk memiliki biosfera yang sihat dan stabil yang dapat menyokong masyarakat yang sihat dan mendorong kemajuan ekonomi.

Walaubagaimanapun, berbagai cabaran harus ditempuhi dalam usaha untuk melindungi dan mentadbir urus 'biodiversity' sama ada di peringkat negara, serantau mahupun antarabangsa. Pembangunan yang tidak lestari ('unsustainable development'), perdagangan dan pemburuan haram ('illegal trafficking and poaching'), penebangan hutan yang tidak mampan ('unsustainable deforestation'), kaedah penangkapan ikan yang tidak terkawal ('uncontrolled fishing' atau 'overfishing'), kehilangan habitat ('habitat loss'), pencemaran ('pollution') dan perubahan iklim ('climate change') adalah antara punca yang menyumbang ke arah kepupusan dan ancaman terhadap 'biodiversity'. Masaalah ini perlu ditanggani secara holistic dan memerlukan kerjasama dari berbagai pihak melalui pendekatan 'Whole of Nation'.

Oleh yang demikian, antara lain usaha Kementerian Pembangunan dalam usaha untuk merealisasikan Wawasan 2035 dalam perlindungan dan pemeliharaan 'biodiversity' ialah dengan mengawal pembangunan melalui keperluan Penilaian Kesan Alam Sekitar Atau 'Environmental Impact Assessment, EIA' bagi projek-projek yang tersenarai sebagai Aktiviti Terjadual yang telah dikenalpasti mempunyai impak atau kesan terhadap alam sekitar. Keperluan ini telahpun dikuatkuasakan di bawah Perintah Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar atau 'Environmental Protection and Management Order' 2016. Antara langkah-langkah yang dipraktikkan ialah menghindari kawasan-kawasan yang mempunyai kepentingan 'biodiversity', menerokai kaedah-kaedah penyelesaian berasaskan alam semula jadi ('nature-based solutions'), menggariskan dan melaksanakan langkah-langkah mitigasi bagi mengelak dan mengurangkan kesan negatif seperti menguatkuasakan keperluan penempatan dan penanaman semula flora dan fauna, pemuliharaan kawasan yang terjejas, dan sebagainya. Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan akan memperkenalkan satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat atau 'Corporate Social Responsibility' (CSR) bagi memberikan kesedaran kepada pihak pemaju dan orang ramai di mana mereka digalakkan untuk menanam 1 hingga 4 pohon pokok bagi setiap pokok yang ditebang bagi semua aktiviti-aktiviti pembangunan. Penanaman semula pokok-pokok ini akan memastikan kadar penyerapan karbon ('carbon sequestration') dapat dikekalkan dalam masa yang sama masih membolehkan proses pembangunan mampan ('sustainable development').

Bagi sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi akan meneruskan kempen 'Take Your Action, Make A Difference' yang telah bermula pada bulan April lalu dan mengajak orang ramai untuk bertindak dan memainkan peranan masing-masing dalam memelihara keindahan alam sekitar yang telah dikurniakan kepada kita. Memandangkan negara masih lagi berada di bawah ancaman wabak COVID-19, beberapa aktiviti telah disusunatur termasuk secara atas talian ('online') dan juga 'virtual run' yang boleh disertai secara persendirian dan mengikut garispanduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak berkuasa yang lainnya.

Di sepanjang bulan Jun ini juga Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi akan berkerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) Persatuan Biodiversiti dan Sejarah Alam atau Biodiversity and Natural History Society (BruWILD) untuk menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran terhadap kepelbagaian biologi di negara ini melalui media sosial Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (@jastre.bn) di samping berkerjasama dengan rakan media, Radio Televisyen Brunei untuk mengadakan kuiz-kuiz di stesen-stesen radio terpilih.  Maklumat lanjut akan dikongsikan di dalam media sosial Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (@jastre.bn).

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah selama ini sama ada secara langsung atau tidak menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar sama ada dari pihak Kerajaan, sektor swasta dan Badan-Badan Bukan Kerajaan. Saya berharap usaha yang diungkayahkan akan dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi ke arah mencapai matlamat sebuah negara yang bersih, hijau dan selamat.

'Take Your Action, Make A Difference'.

Attachments