Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Bangunan baharu Pusat Pengasingan Kebangsaan dirasmikan

Oleh: Hernie Suliana Haji Othman

1_Bangunan baharu Pusat Pengasingan Kebangsaan dirasmikan.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyerahkan kunci Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan Baharu Tutong kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Isham bin Haji Jaafar.

TUTONG, Jumaat, 24 April. – Pusat Pengasingan Kebangsaan (National Isolation Centre - NIC) yang baharu, kini sudah siap dibina pada 23 April 2020.

Usaha pembangunan bangunan tersebut adalah respon daripada pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam menampung rawatan dan pemantauan pesakit-pesakit yang dijangkiti wabak COVID-19 di negara ini.

Pembinaan bangunan di atas tapak berukuran 6,000 meter persegi tersebut bermula pada 27 Mac 2020 lalu, berdekatan bangunan NIC yang ada sekarang, dengan keseluruhan kos pembinaan sebanyak BND11,317,514 oleh Syarikat LSL Sdn. Bhd. yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Kunci dan Perasmian Bangunan Baharu NIC tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar yang kemudian menyerahkan kunci bangunan kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan bersama Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya meninjau lebih dekat fasiliti-fasiliti dan fungsi pusat tersebut, diikuti dengan penanaman pokok-pokok di luar Blok 'F', bangunan berkenaan.

Bangunan baharu NIC ini mengandungi tujuh buah blok utama, di mana Blok-blok 'A' hingga 'E' adalah bagi rawatan pesakit-pesakit yang memenuhi ciri-ciri keperluan lazimnya untuk 'setting' klinikal, manakala Blok-blok 'F' juga 'G' adalah untuk pentadbiran dan kejuruteraan.

Selain itu, bangunan ini turut dilengkapi dengan peralatan-peralatan perubatan dan kemudahan baharu, termasuk 160 buah katil di dalam wad-wad pengasingan; enam buah katil bagi rawatan intensif (ICU beds); farmasi; bilik-bilik rawatan; bilik bengkel peralatan; bilik mesyuarat; bilik Genset; bilik kaunseling; bilik persiapan makanan; tandas; dan bilik mandi.

Bangunan ini turut dilengkapi dengan bilik 'gowning' dan 'de-gowning'; bilik ANTE; bilik 'sluice'; bilik sisa 'bio-hazard' dan 'household'; bilik stor bagi pembersihan peralatan; kawasan menunggu; dan surau.

Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pegawai juga kakitangan yang bertugas di bangunan berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Abdul Manap bin Othman; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Awang Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr. Awang Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang) Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Dayang Lim Sui Kau Alice; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Awang Haji Md. Salleh bin Haji Karim; dan Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain.

Sumber: Pelita Brunei.

Foto: Kementerian Pembangunan.

Attachments